SAUDARA PENGARANG,
SABAN tahun, kejadian banjir menjadi tajuk berita yang biasa didengar pada musim tengkujuh. Selain dari risiko terhadap nyawa manusia dan kerosakan harta benda, banjir juga mendatangkan masalah kepada pemilik rumah dan premis yang terpaksa mencuci bangunan selepas setiap episod banjir berlaku.
Bergantung kepada jenis struktur dan juga kadar kerosakan, terdapat cara yang betul untuk mencuci bangunan yang terjejas akibat terendam dalam tempoh banjir bagi memastikan ketahanan struktur dan fabrik bangunan dalam jangka masa panjang. Cara pencucian dan pembaikan yang betul juga dapat mengelakkan masalah kepada kemasan yang diperbaharui selepas pencucian dan pembaikan yang dijalankan.
Kebanyakan struktur bangunan di Malaysia dibina menggunakan sistem struktur konkrit bertetulang dengan fabrik bangunan yang diperbuat daripada bata dan plaster yang dicat. Dalam keadaan banjir, struktur sebegini berpotensi untuk menyerap air banjir kerana sifat bahan yang secara mikrostrukturnya mempunyai rongga yang telap air.
Terdapat risiko kesihatan akibat pertumbuhan lumut dan kulat sekiranya bangunan tidak kering sepenuhnya selepas banjir. Lumut hidup dalam persekitaran yang sangat lembab, bersifat licin yang meningkatkan risiko jatuh akibat tergelincir. Kulat pula mempunyai risiko kesihatan yang tinggi, yang mana terdapat beberapa spesis seperti aspergillus dan penicillum yang sporanya berbahaya kepada paru-paru manusia, terutamanya mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
Adalah penting untuk pemilik bangunan memastikan bahawa kadar kelembapan pada dinding bangunan telah turun ke tahap yang cukup rendah sebelum kerja pembaikan seperti mengecat semula permukaan dinding dijalankan. Ini bagi mengelakkan permukaan yang dicat menjadi rosak dan berkemungkinan mengelupas dengan cepat.
Komponen bangunan yang diperbuat daripada kayu mempunyai risiko kerosakan daripada pengembangan yang berlaku akibat penyerapan air kedalam sel kayu. Dalam keadaan ini, sering kali kerosakan yang terjadi menyebabkan struktur kayu tersebut terpaksa ditanggalkan untuk pembaikan atau ditukar baharu.
Pemilik bangunan disarankan mendapatkan khidmat juru ukur bangunan professional yang terlatih dengan pengetahuan Sains dan teknikal kerosakan bangunan bagi membantu mereka merencana proses pembersihan dan pembaikan yang tepat bagi bangunan. Profesional ukur bangunan juga dilengkapi dengan peralatan khas yang membolehkan diagnosis kerosakan dibuat secara saintifik, di samping pengetahuan mendalam tentang teknologi pembinaan dan pembaikan bangunan supaya kos yang dikeluarkan bagi pembaikan tidak dibazirkan akibat kerosakan yang berulang.-UTUSAN
DR. ZAHIRUDDIN FITRI ABU HASSAN
Jabatan Ukur Bangunan,