Penjawat awam perlu berubah untuk kekal relevan

Penjawat awam perlu berubah untuk kekal relevan

TANPA melakukan sebarang perubahan, organisasi tidak mungkin akan berkembang mahupun kekal relevan di masa akan datang, termasuk penjawat awam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM satu tinjauan ke atas tenaga kerja di United Kingdom yang telah dilaksanakan oleh Oak Engage pada tahun 2022, sebanyak 74 peratus pekerja berpendapat pemimpin gagal memahami mengapa pekerja menentang perubahan. Manakala menurut Gartner, hanya 38 peratus pekerja bersedia menyokong perubahan organisasi pada 2022.

Usaha bagi membawa perubahan menjadi cabaran terbesar yang dihadapi oleh organisasi masa kini. Tanpa individu melakukan perubahan, organisasi tidak mungkin akan berkembang mahupun kekal relevan. Mengurus perubahan adalah keperluan yang harus dikuasai individu, terutamanya penjawat awam.

Perubahan minda juga hendaklah dilaksanakan. Growth mindset adalah antara sifat terpenting yang perlu dimiliki oleh semua penjawat awam. Growth mindset ialah kepercayaan bahawa kompetensi dan kebolehan boleh dibangunkan melalui usaha, ketekunan dan pembelajaran.

Berfikiran growth mindset membolehkan seseorang penjawat melihat perubahan sebagai peluang untuk berkembang dan mereka akan menggalakkan rakan sekerja mendepani cabaran dan menerima perubahan. Tambahan pula, penjawat awam yang bersifat growth mindset lebih cenderung untuk meminta pandangan dan berusaha terus memperbaiki diri.

Berdasarkan laporan The Future of Jobs oleh World Economic Forum (WEF), dianggarkan 50 peratus daripada keseluruhan pekerja memerlukan latihan kemahiran semula. Manakala 40 peratus kemahiran semasa dijangka berubah menjelang tahun 2025. Laporan ini pastinya merangkumi sekali penjawat awam di Malaysia.

Jika dituruti laporan oleh WEF tersebut, ia menggambarkan bahawa separuh penjawat awam memerlukan sama ada latihan kemahiran semula ataupun peningkatan kemahiran bagi menghadapi masa hadapan. Kemahiran dan ilmu baharu yang perlu dipelajari ini pula hendaklah sesuai untuk kekal dalam persekitaran yang sentiasa berubah dan penuh persaingan.

Perubahan meliputi empat kategori “S” mendesak penjawat awam untuk melakukan reskilling, upskilling, multiskilling and newskilling jika ingin kekal relevan dalam organisasi dan perkhidmatan. Ini juga adalah selari dengan saranan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed supaya Malaysia menjadi sebuah negara talent pool.

Masa hadapan yang bakal kita tempuhi adalah amat mencabar. Situasi seperti penularan pandemik, ketidakstabilan ekonomi, perubahan iklim dan perubahan demografi generasi memberi kesan terhadap pelbagai perkara yang kita hadapi.

Perubahan demi perubahan bakal ditempuhi oleh manusia umumnya dan perkhidmatan awam ini khususnya. Umum mengetahui bahawa kepimpinan yang berkesan adalah penting untuk perubahan yang berjaya.

Bagaimanakah kita seharusnya menghadapi dan beradaptasi dengan perubahan mutakhir ini? Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kita sekarang sedang melalui era pasca-normal. Untuk bergerak menempuhi era pasca-normal memerlukan perubahan dalam cara kita berfikir, cara kita membuat pilihan, cara kita bertindak dan cara kita melangkah menuju masa depan.

Memetik kata-kata daripada Heraclitus of Ephesus, ahli falsafah Yunani: “Satu-satunya yang tetap berterusan dalam kehidupan ialah perubahan,”

Cabaran kini terletak kepada apa yang dilaksanakan sekarang oleh para penjawat awam dalam menyediakan diri dan perkhidmatan awam dalam mendepani perubahan, membentuk negara pada hari ini – Malaysia yang madani.

Sempena tahun 2024 yang baharu ini, ayuh penjawat awam, kita mendakap perubahan. – UTUSAN

SAIFUL EZANE MAZLAN
Perunding Latihan Kanan Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya