SAUDARA PENGARANG,
KONTEKS pengurusan risiko amat luas dan tentunya boleh digunakan dalam industri pendidikan. Terdapat lima risiko teratas iaitu keselamatan siber dan tadbir urus maklumat, pengalaman pelajar, pengambilan pelajar, kesihatan mental serta kemampanan kewangan.
Institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia pasti menghadapi risiko ketika menjalankan aktiviti dan untuk mencapai matlamat strategik. Terdapat inisiatif Buku Hijau dari Kementerian Pengajian Tinggi yang memberi tumpuan kepada peranan lembaga pengarah dan pengurusan risiko. Ia berdasarkan Program Transformasi Universiti.
IPT mesti membangun dan melaksanakan dasar pengurusan risiko yang komprehensif sejajar dengan prinsip-prinsip ISO 31000:2018 untuk memastikan kelangsungan institusi. Dasar ini menyatakan komitmen institusi terhadap pengurusan risiko, menentukan peranan dan tanggungjawab selain menetapkan konteks keseluruhan untuk penilaian risiko serta rawatan.
Tambahan pula, apabila sesebuah institusi membangunkan kerangka pengurusan risikonya, ia mesti mempertimbangkan prinsip-prinsip yang menjadi asas bagi pengurusan risiko.
IPT juga perlu memastikan penyebaran dasar yang berkesan dalam organisasi serta memastikan semua pihak berkepentingan sedar dalam mempromosikan budaya kesedaran risiko.
IPT harus menganalisis dan menilai potensi risiko yang boleh menghalang matlamat organisasi dengan mengambil kira faktor dalaman dan luaran.
IPT juga perlu melaksanakan penilaian secara berkala dan menyemak semula daftar risiko untuk mendapatkan pengubahsuaian yang tepat. Proses berterusan ini menjamin bahawa institusi tetap proaktif dalam mengiktiraf ancaman yang muncul dan menyesuaikan langkah-langkah pengurusan risiko sewajarnya.
IPT mesti memastikan faktor risiko dipertimbangkan secara teratur apabila menetapkan matlamat, merumuskan strategi dan membuat keputusan kritikal.
Selain itu, IPT patut melaksanakan kerangka pemantauan dan penambahbaikan berterusan. Dengan ini, IPT dapat menilai kecekapan prosedur, kawalan dan penglibatan pengurusan risiko yang sedang dilaksanakan secara konsisten.
Kesimpulannya, pengurusan risiko awal dalam IPT mempunyai beberapa faedah yang membantu IPT berjaya dari semua segi, daripada keselamatan pelajar kepada kestabilan kewangan, pematuhan undang-undang dan perlindungan reputasi.
Strategi pengurusan risiko yang menyeluruh mengurangkan risiko dan meningkatkan keupayaan institusi untuk bertindak balas serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, stabil dan kondusif.-UTUSAN
DR. AZLEEN ILIAS
Jabatan Perakaunan dan Kewangan,
UNITEN Business School (UBS)