Pendidikan digital kunci perkasa Bahasa Melayu

Pendidikan digital kunci perkasa Bahasa Melayu

PEMERKASAAN pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu haruslah dimantapkan dalam kalangan guru. – GAMBAR AFFAN AHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DASAR Pendidikan Digital yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan tahun lalu bertujuan melahirkan murid fasih digital serta memiliki nilai dan etika penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang baik serta bersedia mengatasi cabaran masa depan. Justeru, pemerkasaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu melalui teknologi maklumat dan komunikasi haruslah dimantapkan dalam kalangan guru seiring perubahan zaman yang berteraskan pembelajaran abad ke-21.

Keupayaan guru menjadi perkara penting dalam melaksanakan pendigitalan pendidikan. Soal kemahiran guru untuk melaksanakan PdP berteraskan teknologi maklumat dan komunikasi seharusnya tidak lagi menjadi isu pada masa kini. Kemahiran guru perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa seiring perkembangan era teknologi pada masa kini.

Guru boleh meningkatkan kaedah pengajaran yang lebih menarik melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Misalnya, kaedah nyanyian dengan iringan muzik dan video berkaitan topik-topik pengajaran seperti mengenal abjad, kata majmuk mahupun penjodoh bilangan boleh diterapkan dalam aspek seni bahasa semasa PdP dilaksanakan dalam kelas.

Oleh itu, PdP dapat dilaksanakan secara kreatif dan menarik minat murid untuk mempelajari bahasa Melayu bahkan memudahkan murid-murid untuk memahami dan mengingati pelajaran pada hari tersebut. Aktiviti kuiz dan permainan bahasa secara dalam talian boleh dilaksanakan secara interaktif melalui belajar sambil bermain dengan penggunaan aplikasi permainan ataupun gamifikasi boleh diakses dan dilaksanakan secara praktikal dalam kelas.

Aplikasi seperti YouTube, TikTok, Instagram, Telegram, Facebook mahupun WhatsApp boleh dijadikan sebagai platform pembelajaran lebih menarik kerana perkongsian ilmu sama ada berbentuk audio, video, imej, nota, modul mahupun lembaran kerja boleh dilaksanakan dengan mudah.

Kini, dengan kewujudan platform perpustakaan digital, guru boleh mencipta bahan bacaan dan memuat naik bahan-bahan bacaan di rak bacaan secara maya bahkan pautan bahan bacaan boleh dikongsikan bersama orang lain. Kesimpulannya, digitalisasi pendidikan pada masa kini tidak boleh dipinggirkan kerana pemerolehan maklumat segala-galanya boleh dicapai dihujung jari.

Cabaran dan halangan dalam pendigitalan pendidikan perlu ditangani segera oleh pihak berwajib. Pada masa yang sama, jurang pendidikan digital perlu diatasi segera antara sekolah luar bandar dengan sekolah di bandar agar kesamarataan pendidikan diberikan secara adil dan menyeluruh tanpa ada yang tertinggal.

Perkara ini memerlukan kesedaran para guru untuk melaksanakan pengajaran yang berkualiti seperti yang ditekankan dalam matlamat yang keempat dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Pastinya kemenjadian murid dapat dijelmakan melalui kerjasama semua pihak bagi menjayakan visi dan misi Kementerian Pendidikan. – UTUSAN

MUHAMMAD AFFAN AHAMAD
Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi,
Teluk Intan, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya