Pelihara generasi masa depan

Pelihara generasi masa depan

MENEROKA kerangka undang-undang yang memaksa para penggubal dasar untuk memelihara kesejahteraan generasi akan datang. – UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) tegas mencadangkan agar digubal akta khusus yang dinamakan Akta Kesejahteraan Generasi Masa Depan yang berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Gesaan ini hadir dengan satu semangat iaitu bagi memastikan pemimpin politik, pembuat polisi dan pentadbir sentiasa mengambil kira hak dan kesejahteraan generasi masa depan dalam setiap pembuatan keputusan yang dilakukan.

Mereka yang hari ini berusia 20 tahun akan menjejak usia 30 tahun. Soalnya, pada usia 30 tahun itu, adakah kehidupannya menjadi semakin baik atau sebaliknya?

Maka, kerangka berfikir yang mengambil perhatian terhadap kesan pada masa akan datang mesti menjadi teras paling asas buat para penggubal dan pelaksana dasar.

Kita juga perlu mengiktiraf bahawa cabaran yang akan dihadapi oleh generasi baharu nanti pasti berbeza dengan apa yang sedang kita lalui.

Beberapa unjuran World Economic Forum (WEF) menjangkakan lebih 50 peratus pekerjaan yang wujud pada hari ini akan menjadi tidak relevan menjelang 2050.

Unjuran yang sama juga dikeluarkan tentang perubahan iklim yang memberi amaran rumah hijau dan gas akan memburukkan lagi keadaan. Inilah unjuran masa depan.

Tugas kita ialah memastikan ruang persiapan itu disiapkan untuk mereka. Persiapan itu tidak lain hanya dengan mempunyai kemampuan melihat kesan jangka masa panjang dan iltizam politik mempersiapkan negara menghadapi tantangan masa depan.

Meneroka kerangka undang-undang yang memaksa para penggubal dasar untuk memelihara kesejahteraan generasi akan datang mesti dimulakan dengan lebih serius terutamanya apabila krisis Covid-19 dan krisis politik telah menghasilkan kesan berpanjangan yang tidak pernah negara kita lalui baik pada sudut sosial, politik dan ekonomi.

Jika negara kita masih kekal dengan business as usual sedangkan situasi sekarang adalah very unusual, kita hanya mewariskan sebuah negara yang semakin teruk buat generasi baharu nanti.

Cabaran besar dalam meneroka kerangka undang-undang ini adalah bagaimana membaca pola masa depan yang rumit.

Seperti kata Scott E. Page, kerumitan itu wujud antara keteraturan dan kerawakan. Kerumitan juga sukar dijelaskan, diubah, dicipta dan diramal.

Tapi, pembacaan pola yang melihat kepentingan terhadap kesejahteraan generasi masa depan akan mengurangkan lagi kesan buruk yang tidak dijangka muncul daripada pelaksanaan dasar-dasar kepada pewaris negara kita nanti.

Bahkan, kita mampu menyusun gerak kerja menuju masa depan yang kita inginkan dengan kerja-kerja jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Bukankah ada satu ungkapan menyebut bahawa cara terbaik untuk menjangka masa depan adalah dengan menciptanya? Maka, meneroka kerangka undang-undang ini adalah jalan utama untuk mencipta masa depan yang kita inginkan.

Ruang penerokaan ini tidak bermula dari titik kosong. Kita boleh mulakan dengan ruang perkongsian pintar daripada negaranegara yang sudah memulakannya.

Antaranya Wales, Hungary, Finland dan Scotland. Modelnya beragam, tetapi tujuannya tetap sama iaitu usaha untuk memelihara kesejahteraan generasi akan datang.

Usaha ini mesti diarusperdanakan agar kesedaran dan pendidikan mula mendapat tempat di ruang awam. Suatu masa nanti ketika ia benar-benar disistemkan, masyarakat awam dapat menyambutnya dengan cermat dan matang. – UTUSAN

USAID MUHAMAD ASMADI
Ketua Penerangan IKRAM Muda Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya