SAUDARA PENGARANG,
PEMBENTUKAN polisi oleh kerajaan mesti berasaskan fakta yang disokong oleh data yang berkualiti. Namun, sejauh manakah darjah keterperincian dan ketepatan masa data dalam Pangkalan Data Utama (PADU) diperlukan bagi pembentukan polisi yang berkesan?
Memang menjadi impian penganalisis ekonomi untuk mempunyai akses kepada data terperinci dan setepat masa yang boleh.
Dengan keupayaan data analitik terkini, pelbagai maklumat terperinci mengenai permasalahan yang ditangani membantu pelaksanaan dan pembentukan polisi awam.
Pengumpulan data sedemikian bukanlah semudah yang disangka. Di peringkat kerajaan sahaja, terdapat lebih 400 pangkalan data di bawah pelbagai agensi persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan. Setiap satunya dibangunkan untuk tujuan yang khusus, bersandarkan portfolio masing-masing.
Proses integrasi pangkalan data, pembangunan sistem, pendaftaran, mengemaskini, dan pengesahan data PADU mengambil masa dan proses yang panjang.
Tidak boleh dibuat dengan tergesagesa. Pantas tidak semestinya baik. Perlu dibuat dengan teliti, diuji dan dipastikan keupayaannya dan ketahanannya.
Mengurus institusi dan permasalahan awam tidak sama seperti mengurus institusi dan permasalahan swasta. Suka atau tidak, senang atau susah, perkongsian data antara agensi awam mesti didasari kepada akta dan peraturan yang berkaitan, sekiranya ada.
Kita harus menghormati status data peribadi yang dikumpul. Perihal ini mesti diperhalusi bagi mengelak sebarang pelanggaran pelindungan data peribadi.
Pada hemat saya, PADU sewajarnya dijadikan sebagai satu initiatif yang tersendiri. Khusus bagi mengintegrasikan lebih 400 pangkalan data awam.
Penyasaran subsidi bagi mengelakkan ketirisan yang membebankan kedudukan fiskal boleh diselesaikan tanpa diikat kepada permasalahan perkongsian dan integrasi pengkalan data awam. Asingkan.
Saya yakin pengkalan data pemberian bantuan sosial di Kementerian Kewangan yang dibangunkan sejak beberapa tahun yang lalu boleh dijadikan sebagai asas menyelesaikan masalah ketirisan ini. Jangan kerana lampu rosak, kita beli rumah baharu.
Bermain dengan data memang menyeronokkan. Kadangkala mengasyikkan sehingga matlamat asal terpinggir dari perbincangan. Ada yang tenggelam lemas dalam kolam data yang luas dan dalam, hilang punca tujuan asal pengumpulan data.
Dalam konteks permasalahan awam, kita perlu terlebih dahulu memahami masalah yang hendak ditangani. Nilai pangkalan data sedia ada di Kementerian Kewangan, kekuatan dan kelemahannya.
Apa halangan yang dihadapi dan kenal pasti maklumat tambahan yang diperlukan. Masalah pengguna kita ialah ketirisan bantuan sosial bukan perkongsian data antara agensi yang terhad.
Teruskan pembangunan PADU sebagai inisiatif data raya awam. Ia baik dan bertepatan dengan era digital. Tingkatkan keyakinan rakyat dan perkukuhkan keupayaan dan keselamatan PADU. Beri masa yang mencukupi.
Selaraskan PADU dengan Govtech dan MyDID dari sekarang. Jangan nanti kita berhadapan dengan sistem digital yang terpisah-pisah dan tidak berkongsi data sekali lagi. – UTUSAN
TAN SRI NOOR AZLAN GHAZALI
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM)