PADU: Lebih banyak soalan dari jawapan

PADU: Lebih banyak soalan daripada jawapan

RAKYAT berhak mengetahui butir-butir terperinci mengenai keberkesanan PADU, sebelum diminta untuk memberikan maklumat peribadi yang bersifat sensitif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PELANCARAN sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mendapat banyak perhatian di berita tempatan baru-baru ini. Rakyat digalakkan untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi dalam sistem PADU.

Walau bagaimanapun, sistem PADU tidak mempunyai sebarang maklumat peribadi sebaliknya, maklumat peribadi dimasukkan satu persatu ke dalam sistem PADU. Ini bermaksud, tanggungjawab rakyat bukanlah setakat menyemak dan mengemaskini maklumat peribadi tetapi melibatkan kerja memasuki data ke dalam sistem.

Ini bukanlah perkara baharu yang dihadapi dengan sistem kerajaan. Rakyat dibebankan dengan kerja memasukkan maklumat peribadi. Walau bagaimanapun, maklumat adalah jalan dua-hala. Jadi, kami sebagai rakyat juga berhak untuk tahu tujuan PADU dan bagaimana sistem ini akan digunakan untuk manfaat rakyat.

Bagaimanakah kesemua ini akan dilakukan? Contoh, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa subsidi RON95 akan digantikan dengan program subsidi bersasar pada pada pertengahan kedua 2024. Adakah ini bermaksud harga petrol akan meningkat ketika itu dengan subsidi didebitkan ke dalam akaun rakyat yang layak menerima subsidi?

Bagaimana pula dengan seseorang yang tidak memasukkan maklumat yang benar ke dalam sistem dengan tujuan untuk menikmati subsidi dan manfaat kerajaan? Adakah apa-apa penalti dikenakan? Siapakah yang akan menyemak dan mengesahkan butir-butir ini? Juga, apakah manfaat lain yang boleh kami dapati daripada sistem PADU ini?

Adakah ini bermaksud kerajaan tidak lagi akan menjalankan tinjauan banci secara tradisional untuk mendapatkan maklumat statistikal? Lebih merunsingkan lagi, adakah ini bermaksud maklumat statistikal yang sedia ada mengenai landskap sosioekonomi di Malaysia selama ini adalah kurang tepat? Bagaimana pula jika komitmen kewangan dan pendapatan seseorang berubah? Adakah maklumat perubahan ini perlu dikemaskini setiap kali terdapat perubahan dalam maklumat peribadi? Apakah akibatnya jika tidak dilakukan?

Kemudiannya, terdapat juga isu mengenai keselamatan dan privasi data. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tidak terpakai kepada kerajaan. Rafizi mengatakan PADU dibangunkan dan akan dikendalikan oleh penjawat awam, yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972. Malaysia mempunyai lebih kurang 1.62 juta penjawat awam yang bermaksud dalam populasi yang mencecah 33 juta, terdapat seorang penjawat awam untuk setiap 21 orang. Berapa selamatnya maklumat paling peribadi kami?

Rakyat berhak untuk mengetahui butir-butir terperinci mengenai keberkesanan PADU, sebelum kami diminta untuk memberikan maklumat peribadi yang bersifat sensitif.

Jika tidak, PADU mungkin akhirnya dilihat sebagai satu percubaan untuk menjalankan aktiviti pengawasan dan juga satu bentuk pencabulan hak privasi yang boleh merosakkan niat murni kerajaan.-UTUSAN

DR. R. SHEILA
Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya