SAUDARA PENGARANG,
JENAYAH rasuah adalah satu bentuk kesalahan jenayah yang boleh ditangkap tanpa waran tangkap oleh mahkamah. Perkara ini adalah seperti dinyatakan di bawah Seksyen 49(1), Akta SPRM 2009. Mengikut undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini, jenayah rasuah boleh ditangkap tanpa waran oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM); pegawai polis (Seksyen 23, Kanun Prosedur Jenayah); penghulu (Seksyen 23, Kanun Prosedur Jenayah), majistret atau jaksa pendamai (Seksyen 23, Kanun Prosedur Jenayah); dan orang awam (Seksyen 27, Kanun Prosedur Jenayah).
Oleh demikian, sekiranya anda sebagai orang awam (sebagai peniaga, kontraktor dan sebagainya) jika diminta suapan rasuah oleh mana-mana pegawai awam atau swasta yang berurusan secara rasmi, anda boleh mengambil tindakan berikut:
a) Memberi amaran bahawa perbuatan meminta atau menerima suapan rasuah adalah satu kesalahan jenayah
b) Jika orang itu masih meminta atau masih meneruskan niatnya untuk meminta suapan rasuah, maka tangkapan boleh dibuat atas kapasiti sebagai tangkapan oleh orang awam
c) Anda hendaklah secepat mungkin menyerahkan orang itu kepada pejabat SPRM atau mana-mana balai polis terdekat untuk tindakan selanjutnya
Walau bagaimanapun jika anda tidak berani untuk melakukan tangkapan, hendaklah seberapa segera melaporkan perbuatan itu kepada pihak SPRM secepat mungkin.-UTUSAN
PEMERHATI RASUAH MALAYSIA (MCW)
Kuala Lumpur