Naikkan elaun pegawai masjid, surau

Naikkan elaun pegawai masjid, surau

MASJID dan surau adalah institusi terpenting dan wajar diberi pengiktirafan yang tinggi. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AMAT wajar kita terus memartabatkan pengurusan masjid dan surau di negara ini. Antara langkah yang boleh diambil adalah menaikkan kadar elaun pegawai syarak masjid dan surau pada tahap sekurang-kurangnya kadar gaji minimum peringkat kebangsaan.

Jangan sesekali memandang remeh atas tugas dan tanggungjawab yang pegawai syarak laksanakan.

Ada yang beranggapan tugas mereka setakat menghidupan lima waktu solat fardu tetapi mereka juga membuat pengisian untuk program-program kemasyarakatan. Ini termasuklah memenuhi jemputan bacaan tahlil, doa selamat, majlis berzanji, kenduri arwah dan sebagainya.

Mereka ini bukan sekadar hadir tetapi terpaksa mengetui program-program tersebut. Adalah difikirkan amat wajar kedudukan pegawai-pegawai syarak terutama di surau yang aktif atau yang dibenar melaksanakan solat Jumaat dinaik taraf seperti pegawai-pegawai kontrak kerajaan yang lain.

Elaun bulanan sebanyak RM850 sebulan. Bayaran berkenaan dilunaskan kepada semua imam rawatib (Imam I dan 2) masjid seluruh negara oleh kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kadar elaun sedia ada yang terlalu rendah menyebabkan berlaku kesukaran untuk pengisian jawatan-jawatan pegawai syarak terutama disesetengah masjid dan surau.

Justeru, semua elaun untuk imam, bilal, siak, noja terutama untuk masjid kariah atau surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat termasuk juga surau-surau yang aktif hendaklah diselaraskan kepada gaji minimum semasa.

Elaun sepatutnya dibayar melalui Jakim sepenuhnya bukan melalui sumbangan orang ramai melalui kutipan tabung.

Sepatutnya kutipan tabung hendaklah digunakan sepenuhnya oleh pihak masjid dan surau untuk urusan pembaikan, naik taraf, pengimarahan dan sebagainya.

Jika pihak Jakim tidak berkeupayaan untuk buat bayaran sepenuhnya maka dicadangkan pihak Jakim membuat sebahagian bayaran dan selebihnya ditampung melalui kutipan sumbangan tabung masjid dan surau.

Pihak Jakim juga dicadangkan memotong 10 peratus sumbangan dana setiap bulan untuk masjid dan surau.

Perlu juga ada potongan untuk Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Perlindungan caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Slip gaji perlu disediakan untuk memudahkan pengurusan pegawai syarak seperti urusan dengan pihak institusi kewangan dan sebagainya.

Selain itu, sediakan kemudahan rawatan kelas dua untuk wad di hospital kerajaan. Mewajibkan akaun masjid dan surau diaudit. Beri latihan yang intensif dan berterusan kepada bendahari dan penolong bendahari termasuk pemeriksa kira-kira.

Kadar elaun tetap boleh disalurkan kepada jawatankuasa tertinggi masjid dan surau terutama yang melibatkan lima jawatan tertinggi iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Penolong Bendahari.

Sebaiknya setiap pelantikan ahli jawatankuasa masjid dan surau dicadang sepenuhnya oleh ahli kariah masjid dan surau serta bukan dari pihak-pihak yang berkepentingan.

Masjid dan surau adalah institusi terpenting dalam membentuk masyarakat yang berkeperibadian tinggi dan hebat dunia akhirat maka adalah wajar institusi ini diberi pengiktirafan yang tinggi.

Semoga dengan usaha murni ini, institusi terpenting dalam Islam ini dimartabatkan ke suatu tahap yang tertinggi dalam negara bersesuaian Islam selaku agama Persekutuan.-UTUSAN

BAHARUDIN HUSIN
Peringgit, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya