Mari bersama perkukuh kemakmuran - Utusan Malaysia

Mari bersama perkukuh kemakmuran

TAHUN baharu 2024 akan menjadi tahun yang bakal dipenuhi dengan harapan baharu di Malaysia. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CABARAN seperti rasuah dan pembaziran sumber mampu menghalang pembangunan negara yang lebih mampan. Oleh itu, transformasi harus dilakukan dengan keazaman politik yang kuat.

Pertubuhan Ikram mendukung usaha kerajaan untuk menghapuskan budaya rasuah dan komited dalam usahanya untuk membendung jenayah ini melalui penglibatan dalam gabungan Rasuah Busters.

Ikram percaya usaha membasmi rasuah memerlukan langkah reform yang lebih tegas seperti memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas daripada pengaruh eksekutif, pemisahan kuasa antara pendakwa raya dan peguam negara serta penambahbaikan kepada Akta Pemberi Maklumat.

Perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang etnik dan agama harus dipuji walaupun sesekali diprovokasi dengan serangan fahaman radikal dan ekstrem yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Buat pertama kalinya, Ikram bersama tiga pertubuhan dakwah utama negara iaitu Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) bergabung membentuk Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM) pada 7 Ogos 2023.

HGIM diwujudkan untuk menolak ekstremisme dan berganding bahu memperjuangkan keharmonian serta kemajuan negara melalui pendekatan mendukung nilai-nilai wasatiyyah dalam Islam.

Sehubungan itu, Ikram juga menyahut seruan kerajaan bagi memperkukuh iklim perhubungan yang baik dan mesra dalam kalangan pemimpin dan penganut pelbagai agama melalui penglibatan dalam Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI).

Ikram turut aktif mengadakan libat urus dengan beberapa kementerian dan agensinya terutama dalam aspek perpaduan dan keharmonian, pembangunan hal ehwal Islam, kemakmuran ekonomi, kemanusiaan, kekeluargaan dan juga pendidikan masyarakat.

Dalam situasi perkembangan ekonomi yang perlahan, isu kemiskinan bandar hangat diperkatakan. Kajian berkenaan memperkasakan kehidupan komuniti miskin bandar telah dimulakan oleh Ikram sebagai usaha ke arah mencari model solusi yang berkesan untuk golongan ini.

Ikram telah menggerakkan program Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) yang merupakan satu modul latihan untuk ibu bapa belajar, mempraktikkan dan berlatih menguruskan pendidikan anak-anak dengan teknik yang efektif.

Projek Kecemerlangan Kanak-Kanak B40 Melalui Nutrisi dan Pembacaan (PROTEEN) anjuran Ikram Pulau Pinang pula mengkhususkan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar melalui pemakanan sihat dan aktiviti pembacaan.

Projek-projek ini telah menerima penyertaan yang menggalakkan. Ikram bersedia menjadi rakan strategik dengan mana-mana pihak yang ingin bersama dalam usaha menangani dan mencari solusi berkenaan isu masyarakat dan negara.

Mengorak langkah ke hadapan menghadapi cabaran, perlunya kolaborasi antara rakyat, pemimpin komuniti dan organisasi, gabungan tenaga badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan pemerintah untuk mendorong perubahan yang memberikan impak dan transformasi positif kepada rakyat dan negara.

Kesejahteraan rakyat akan menghasilkan kemakmuran pada negara. Tahun baharu 2024 akan menjadi tahun yang bakal dipenuhi dengan harapan baharu di Malaysia.

Penting bagi semua rakyat di pelbagai peringkat berperanan menjadi pencetus solusi bagi memperkukuh usaha Malaysia menjadi negara yang aman sentosa dan makmur.

Ayuh kita bersatu padu dan terus berusaha mendukung perubahan demi membina sebuah negara yang harmoni, maju, makmur dan sejahtera.

Membuka tirai 2024, bersama-sama kita melangkah maju ke hadapan, menjayakan harapan dan melakar masa depan negara yang lebih gemilang. – UTUSAN

BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan Ikram

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya