SAUDARA PENGARANG,
TINGGAL beberapa hari sahaja lagi untuk sepak mula Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar selaku tuan rumah.
Namun, ramai yang sebenarnya tidak sedar betapa besar dan pentingnya Piala Asia kali ini.
Selama ini, kebanyakannya sudah biasa menonton Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro). Tetapi ada juga beberapa pemain dari Premier League yang turut beraksi di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan Piala Asia.
Kali ini, Malaysia juga layak ke Piala Asia secara merit sejak 1980, kejohanan yang setaraf dengan Euro dan AFCON. Jadi, tunjukkanlah sokongan kepada skuad kebangsaan. Bukan mudah Malaysia untuk layak ke Piala Asia. Dahulu Malaysia tidak layak. Tapi itu dahulu.
Sekarang, ranking negara kita sudah berada di tangga ke-130. Ada sasaran untuk menuju ke tangga ke-100. Malah, Malaysia juga sedang bertarung dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan telah meraih dua kemenangan setakat ini.
Malaysia akan berdepan Jordan, Bahrain serta Korea Selatan yang kini menduduki tangga ke-23 dunia. Skuad Korea ini akan diterajui pemain bintang seperti Son Heungmin, Kim Min-jae, Hwang Hee-chan di bawah kendalian Jurgen Klinsmann.
Malaysia juga mempunyai pemain berkualiti seperti Arif Aiman, Faisal Halim, Dion Cools serta Kim Pan Gon yang sudah berjaya menunjukkan kemampuan dan keupayaannya sebagai jurulatih yang layak menerajui skuad negara.
Justeru, berilah sokongan kepada skuad kebangsaan Malaysia. Utamakan negara dan lupakan sementara waktu pasukan kesayangan di Premier League. Para pemain kebangsaan amat memerlukan sokongan padu rakyat Malaysia.
Ayuh sokong Harimau Malaya. – UTUSAN
HARITH HAIQAL
Peminat bola sepak Malaysia