SAUDARA PENGARANG,
Virus Covid-19 masih lagi berlegar di sekeliling kita. Kehadirannya ketika era pandemik membawa arus tsunami kepada sistem pentadbiran, ekonomi dan sosial di peringkat global termasuk di Malaysia.
Pandemik ini turut mengganggu-gugat organisasi sektor kerajaan menyebabkan keterlibatan menyeluruh semua kementerian mahupun jabatan dan agensi kerajaan menyesuaikan diri dengan amalan penjarakan sosial dan persekitaran ekosistem kerja baharu mengikut piawaian prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Konsep G.R.E.A.T. yang diperkenalkan KSN, Tan Sri Mohd.Zuki Ali, menepati perjuangan penjawat awam dalam era pasca normal.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan kursus dan penilaian perkhidmatan awam turut memberi panduan kepada ketua jabatan memberi laluan, panduan dan kelonggaran kepada penjawat awam mengikuti kursus dengan jayanya secara dalam talian sama ada di premis tempat bertugas mahupun di rumah masing-masing.
Walaupun telah melepasi era pandemik yang mencabar, pelaksanaan latihan, kursus dan seminar melalui kaedah ini masih lagi diminati dan merupakan satu penyelesaian kreatif untuk menghubungkan para tenaga pengajar atau penceramah secara jarak jauh dengan peserta kursus selain membantu mereka mencapai sasaran kursus wajib tujuh hari setahun seperti sebelum ini.
Selain itu, ia juga membantu penjawat awam mengikuti kursus wajib penilaian kenaikan pangkat dalam perkhidmatan dan kursus-kursus berkaitan kemahiran penjawat awam seperti kepimpinan, pengurusan sumber manusia, komunikasi, pembangunankepakaran dan lain-lain.-UTUSAN
MOHD. SYAHRIZAD MOHD. SAPANDI
Perunding Latihan Pusat Penyelidikan dan
Konsultasi INTAN Bukit Kiara