Kos sara hidup punca lepasan SPM enggan sambung belajar

Kos sara hidup punca lepasan SPM enggan sambung belajar

KURANGNYA minat lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian dikaitkan kos sara hidup, sektor ekonomi dan pengaruh media sosial. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT beberapa faktor yang menyumbang terhadap pengurangan minat dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian.

Salah satunya disebabkan pelajar- pelajar ini lebih cenderung untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig seperti e-hailing dan sebagainya dengan menghasilkan hasil dan gaji yang lebih lumayan tanpa memerlukan kelayakan yang tinggi. Sektor ekonomi gig juga mempunyai waktu bekerja yang lebih fleksibel dibandingkan dengan sektor pekerjaan awam yang mempunyai waktu yang harus dipatuhi oleh pekerja.

Melalui hasil soal selidik, sesetengah remaja lepasan SPM ini memberitahu bahawa hasil kutipan yang dilakukan semasa bekerja sebagai rider foodpanda lebih tinggi iaitu sekurang-kurangnya RM3,000 berbanding berbanding hasil pendapatan pelajar lepasan diploma dan ijazah yang hanya memperoleh gaji sebanyak RM1,500 sahaja.

Pelajar lepasan SPM turut dipengaruhi oleh pengaruh media sosial ataupun pempengaruh di Tiktok mahupun Youtube.

Hakikatnya, pelajar-pelajar tidak menyedari bahawa mereka telah banyak membasuh minda mereka dan memberikan harapan palsu bahawa mereka tidak memerlukan sijil pelajaran yang tinggi untuk berjaya dalam meraih hasil keuntungan. Akhirnya pengaruh yang dibawa oleh mereka berjaya mempengaruhi ramai pelajar lepasan SPM bahawa menyambung pelajaran adalah suatu keputusan yang tidak berfaedah untuk masa hadapan.

Seterusnya, punca ramai pelajar lepasan SPM tidak berminat untuk menyambung pelajaran adalah disebabkan yuran kemasukan ke universiti. Isu yuran ini telah banyak diperkatakan oleh ramai pelajar bahawa kos untuk menyambung pelajaran ini terlalu tinggi.

Jika pelajar yang kurang berkemampuan hendak menyambung pelajaran, mereka perlu membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membayar yuran universiti yang tinggi tersebut. Setelah pelajar-pelajar ini menghabiskan pendidikan mereka pada peringkat universiti, mereka perlu membayar hutang PTPTN secara potongan gaji bulanan.

Menurut pendapat pensyarah pendidikan, Dr.Anuar Ahmad, masyarakat tidak boleh menyalahkan pelajar lepasan SPM sepenuhnya kerana telah membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran mereka pada peringkat diploma atau ijazah.

Ini disebabkan mereka boleh mendapat gaji yang banyak semasa bekerja sebagai penghantar makanan atau e-hailing berbanding mereka perlu menghabiskan masa selama tiga hingga empat tahun untuk menghabiskan pendidikan diploma atau ijazah mereka dan pada akhirnya mendapat gaji hanya sebanyak RM1,500.

Gaji yang diberikan dalam amaun yang sedikit itu tidak cukup untuk menampung kos sara hidup mereka di mana mereka perlu membayar yuran PTPTN, kos sewa rumah, kos ke tempat kerja, kos makan dan minum serta pelbagai komitmen lain.

Kesimpulannya, kurangnya minat pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran boleh dikaitkan dengan faktor seperti kos sara hidup yang tinggi, sektor ekonomi yang merudum serta pengaruh dari pelbagai pempengaruh.

Ketersediaan peluang pekerjaan dalam ekonomi gig dan tanggapan terhadap pilihan pengajian yang lebih pendek dan fleksibel di luar negara turut mempengaruhi keputusan kepada pelajar lepasan SPM.

Adalah penting bagi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat secara keseluruhan untuk menangani kebimbangan ini dengan menyediakan sokongan kewangan dan mendedahkan manfaat jangka panjang pendidikan tinggi untuk menggalakkan lebih ramai lepasan SPM melanjutkan pelajaran. – UTUSAN

NABIL AMIR
Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya