SAUDARA PENGARANG,
SISTEM pendidikan memegang peranan penting dalam memberi penerangan berkaitan isu sumbangan mahram, penderaan fizikal, penderaan emosi dan penderaan seksual. Kekurangan pendidikan kesedaran sosial dan nilai-nilai moral dalam kurikulum mungkin menyebabkan kurangnya pemahaman mengenai batasan dan hak asasi manusia. Oleh itu, pendidikan holistik yang menekankan nilai-nilai keinsanan, empati dan keadilan diperlukan untuk mereformasi sistem pendidikan.
Gaya hidup masyarakat yang cenderung egois dan hedonistik seringkali mengabaikan tanggungjawab sosial. Jadi, bermula hari ini amat penting untuk membina semangat kejiranan dan kesedaran tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, pembangunan sosial dan ekonomi perlu didorong untuk mengurangkan tekanan hidup dan memastikan kesejahteraan psikologi masyarakat secara menyeluruh.
Bahkan, perlindungan dan pendidikan perlu diperkenalkan untuk melibatkan masyarakat dalam menangani isu ini. Pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang hak asasi dan bahaya adalah kunci mengatasi masalah ini.
Keperitan hidup juga boleh menjadi punca gangguan emosi yang membawa kepada kejadian sumbangan mahram dan penderaan. Kesedaran tentang perkhidmatan sokongan psikososial yang tersedia perlu ditingkatkan untuk membantu mereka yang menghadapi tekanan hidup yang tinggi.
Pemerkasaan peranan ibu bapa dalam pendidikan moral dan nilai-nilai agama adalah aspek penting dalam menangani isu ini. Sistem pendidikan yang bertumpu pada akhlak dan agama perlu diperkukuhkan untuk membangunkan kesedaran terhadap norma-norma moral masyarakat.
Sementara itu, Khutbah Jumaat adalah platform penting untuk menyampaikan maklumat dan pemahaman kepada masyarakat. Oleh itu, penting agar khutbah-khutbah ini tidak hanya memberi tumpuan kepada isu-isu umum, tetapi juga menyentuh isu-isu khusus yang berkaitan dengan perkembangan semasa.
Imam dan pemimpin agama perlu memastikan setiap khutbah memberikan pandangan jelas dan solusi praktikal terhadap isu-isu ini.
Akhirnya, untuk menangani masalah ini, perlukan kerjasama semua pihak. Semangat kejiranan yang berkualiti perlu ditanamkan dan kerjasama antara masyarakat, pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus diperkuatkan. Hanya melalui usaha bersama, masyarakat dapat bersama-sama menghadapi dan mengatasi cabaran ini untuk mencipta masyarakat yang lebih selamat dan harmoni.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan