SAUDARA PENGARANG,
PARTI Sosialis Malaysia menyangkal kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bahawa pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukanlah keutamaan kerajaan buat masa ini.
Kami ingin mengingatkan menteri supaya meletakkan keutamaan mengikut kehendak rakyat dan bukannya sebaliknya.
Bekas menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin, yakin pilihan raya PBT dapat diadakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau berkata di Dewan Rakyat pada 2020 bahawa beberapa kajian kebolehlaksanaan mengenai pilihan raya tempatan telah dijalankan antara 2018 dan 2019.
Beliau menambah lagi bahawa sebuah jawatankuasa operasi terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat ditugaskan untuk menyediakan kertas mengenai persepsi orang ramai ke arah pilihan raya PBT dan mencadangkan program kesedaran supaya orang ramai memahami peranan pilihan raya PBT.
Justeru, kami menuntut menteri mendedahkan penemuan ini supaya kami boleh membuat penilaian objektif tentang
kebaikan dan keburukan pilihan raya PBT.
Pada masa ini, wang pembayar cukai digunakan untuk membayar Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga menteri untuk menyelesaikan isu PBT. Mengapa kita membayar gaji menteri untuk melihat kemudahan tandas awam?
Ini adalah kerja ahli majlis tempatan yang dipilih. Menteri-menteri sepatutnya menggubal dasar untuk menangani harga rumah yang semakin meningkat, bukan membuat pemeriksaan mengejut di tandas. Ini pembaziran sumber.
Jelas sekali, Pas dan DAP tidak berminat untuk menangani masalah awam tetapi hanya melihat kepada penguasaan politik mereka.
Pas takut lebih ramai wakil DAP akan diundi, kerana DAP biasanya mempunyai pegangan yang kuat di kawasan bandar, sedangkan Pas di kawasan luar bandar. Pas berhujah bahawa pilihan raya PBT hanya akan menimbulkan ketegangan kaum, tanpa sebarang fakta.
Adakah mereka takut bahawa rakyat akan melihat melalui pembohongan ketakutan mereka yang tidak berasas? Tanpa sebarang kajian atau data untuk menyokong dakwaan mereka bahawa orang Melayu akan hilang kawalan ke atas PBT jika pilihan raya diadakan, adalah jelas bahawa Pas adalah punca yang berniat untuk mencetuskan ketidakharmonian kaum.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, PBT terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. PBT perlu mematuhi semua dasar negeri mengenai pelesenan arak dan lesen hiburan. Apakah Pas tidak yakin DUN majoriti Melayu Islam mampu mengawal selia PBT dengan berkesan? Tidakkah mereka juga mempunyai kepercayaan kepada kakitangan PBT yang kebanyakannya Melayu Islam untuk melaksanakan dasar mengikut sensitiviti agama?
Pilihan raya PBT adalah komponen penting dalam demokrasi negara, supaya setiap ahli Parlimen, ADUN dan ahli majlis PBT yang dipilih menjalankan peranan mereka yang jelas dan tidak bertindih antara satu sama lain.
Oleh itu, PSM berpandangan bahawa pilihan raya PBT adalah keutamaan rakyat dan kerajaan tidak seharusnya menunduk
kepada ketakutan berdasarkan hujah-hujah perkauman.
Jika kerajaan mula mengusahakannya sekarang, kami percaya pilihan raya PBT, sekurang-kurangnya di negeri tertentu boleh dilaksanakan bersama-sama Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada 2027 atau 2028. – UTUSAN
A. SIVARAJAN
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia