SAUDARA PENGARANG,
UJIAN dan cabaran dalam dunia Islam senantiasa berubah dari zaman ke zaman dengan tujuannya bagi menjauhkan umat itu dari petunjuk Allah SWT. Salah satu faktornya adalah dengan memecah belahkan umat Islam.
Rentetan daripada cabaran tersebut, lahirlah umat Islam yang lupa diri, yang kekuatan jiwanya tidak berdaya serta gemar mencontohi gaya hidup Barat dan yang paling serius sekali mereka yang mengambil mudah terhadap tuntutan agama.
Situasi seperti ini juga berlaku di Malaysia, yang mana segelintir umat Islam lebih mengutamakan kekuatan jasmani berbanding rohani dan spiritual sekali gus menjadikan gaya hidup Barat sebagai kemestian untuk diikuti dan dicontohi.
Kemerosotan budaya dan moral boleh menjadi halangan kepada umat Islam untuk terus bersatu padu. Ini boleh dilihat dari perebutan kuasa politik apabila segelintir pemimpin bersikap lepas tangan dan mementingkan diri demi kemasyhuran dan kekayaan semata-mata. Secara tidak langsung, jurang sesama Muslim juga akan terkesan dan penyatuan ummah sukar untuk dibangunkan.
Umat Islam sewajarnya mengambil iktibar daripada sejarah-sejarah lampau yang membuktikan perpaduan, penyatuan dan persefahaman memainkan peranan penting dalam mengekalkan kekuatan dunia Islam.
Oleh itu, kita perlu bekerjasama bagi mengembalikan semula kegemilangan dunia Islam seperti dahulu demi kebaikan seluruh umat Islam di serata dunia. Usaha ini perlu dipupuk dengan semangat yang jitu bermula daripada peringkat individu sehinggalah melibatkan keluarga, masyarakat, kerajaan dan antarabangsa dalam berdepan pelbagai cabaran bagi menjayakan misi sebagai umat yang terbaik.-UTUSAN
NURUL ATIQAH ILYANI MOHAMAD TAN DAN PROFESOR DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR
Universiti Malaya