SAUDARA PENGARANG,
SUDAH banyak kali kes kecurian wayar kabel bumi dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab dan ada yang tertangkap oleh pihak berkuasa. Namun, jenayah ini tidak pernah berhenti.
Bahkan, saya pernah terbaca satu laporan tentang beberapa anasir yang tidak bertanggungjawab telah menanggalkan beberapa sambungan wayar kabel bumi. Apabila ini dilakukan bekalan elektrik yang selalunya diterima di sesebuah kediaman meningkat kepada 400 voltan berbanding 230 voltan.
Dalam keadaan seperti ini, jika berlaku sebarang kerosakan pada alat-alat elektrik boleh membahayakan orang sekeliling kerana peluang untuk terkena renjatan amat besar.
Dan kecurian melibatkan suis tembaga bervoltan tinggi yang mengawal pengumpan elektrik dan pengubah akan menyebabkan gangguan bekalan di beberapa kawasan.
Beberapa suis yang terlibat rosak dan jika ini berterusan, para pengguna akan terus mengalami gangguan bekalan kerana pemulihan bekalan elektrik akan melibatkan kerja oleh jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mencari suis pengganti dari kawasan lain dan membawanya ke stesen-stesen kecil yang terlibat.
Sebagai pengguna, kita tidak boleh bersikap acuh tidak acuh atau tidak ambil peduli terhadap masalah ini. Kita perlu faham bahawa bahaya elektrik tidak menghormati atau mengenali sesiapa pun. Apabila disalahguna, pastinya ia akan bertindak balas, selalunya menyebabkan bencana. Janganlah bahayakan nyawa anda atau mereka yang dikasihi.
Pada hemat saya sebagai penggerak pengguna, menjadi tanggungjawab orang ramai membantu pihak berkuasa mengatasi masalah ini supaya kita tidak menjadi mangsa. Kenapa kita yang menderita akibat kejahatan beberapa orang yang tidak bertanggungjawab?
Marilah kita membantu membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan dan pastikan mereka menerima hukuman yang setimpal.
Bahkan TNB juga meminta kerjasama dari pihak pengguna. Oleh itu marilah kita bertindak segera.
Jika anda mempunyai sebarang keterangan mengenai kecurian-kecurian ini, dedahkanlah perkara ini kepada TNB. Laporkanlah kepada Pejabat Tenaga yang paling hampir jika adanya orang-orang disyaki berkeliaran di sekitar stesen atau stesen kecil janakuasa. -UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan