Jangan lupa jasa ibu bapa

Jangan lupa jasa ibu bapa

BERTERIMA kasihlah kepada ibu dan ayah kita yang telah banyak berkorban demi kita. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP kisah dalam perjalanan hidup kita diwarnai oleh sentuhan kasih sayang ibu dan ayah. Mereka mengajar kita tentang cinta, kesabaran, dan kebijaksanaan melalui pengalaman mereka sendiri.

Begitu banyak kisah kejayaan yang kita raih adalah hasil daripada dorongan mereka yang tidak pernah berhenti, dan setiap kegagalan dijadikan pengajaran berharga untuk membentuk keperibadian kita.

Kita sebagai seorang anak wajiblah membalas segala jasa mereka walaupun hakikatnya jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka kepada kita tidak terhitung banyaknya.

Kisah Uwais Al Qarni, seorang pemuda yang menggendong ibunya dari Yaman ke Mekah merupakan satu inspirasi. Beliau seorang yang sangat penyabar menjaga ibunya.

Beliau melayan karenah ibunya yang pelbagai ragam dan berusaha menggembirakan hatinya, sehingga sanggup mengenepikan keinginan sendiri bersama isteri dan anak.

Pengorbanan tenaga, masa, wang ringgit dan perasaan ini pastinya sukar untuk dilakukan oleh seseorang itu apatah lagi jika diri sendiri serba kekurangan.

Namun, demi menyahut perintah Allah, pengorbanan yang dilakukan oleh Uwais al-Qarni harus menjadi ikutan setiap insan yang bergelar anak.

Sangat rugi jika seorang anak tidak mengambil kesempatan untuk berbakti kepada kedua ibu dan bapanya.

Nabi Muhammad pernah menyatakan bahawasanya orang yang hina ialah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Berterima kasihlah kepada ibu dan ayah kita yang telah banyak berkorban demi kita. Sentiasa berdoa kepada Allah supaya ibu dan ayah kita diberikan kesihatan tubuh badan yang baik dan dipanjangkan umur.

Buat mereka yang telah kehilangan ibu mahupun ayah, ingatlah bahawa kita masih lagi boleh berbakti kepada mereka. – UTUSAN

AINUL MARDHIAH MOHD. SHOKRI
Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya