SAUDARA PENGARANG,
DI tengah-tengah zaman moden sekarang, pertanyaan yang sering muncul, adakah makanan tradisional Malaysia perlu dimodenkan agar tetap relevan?
Daripada masakan Melayu yang pedas, kelazatan rempah India hingga hidangan Cina yang segar, setiap suku kaum menyumbangkan keunikannya.
Memodenkan makanan tradisional sering kali melibatkan perubahan dalam bahan, teknik memasak dan persembahan. Ini termasuk penggunaan bahan baharu, cara memasak yang lebih efisien atau penyajian lebih unik.
Salah satu contoh pemodenan yang berhasil adalah Nasi Lemak Cheesecake di mana cita rasa nasi lemak digabungkan dengan struktur kek keju telah menciptakan cita rasa unik yang menggoda selera.
Ini adalah salah satu contoh bagaimana inovasi membantu menarik minat pelanggan. Namun, pemodenan yang terlalu agresif akan menimbulkan pandangan negatif.
Salah satu potensi kerugiannya adalah kehilangan keaslian hidangan tersebut. Di mana awalnya hidangan nasi lemak yang memiliki keunikan sambal serta keharuman aroma nasinya telah dikaburi dengan rasa serta aroma asing daripada keju tersebut.
Dalam pada itu, kuih onde-onde menyimpan sejumlah keistimewaan yang membuatnya menjadi hidangan istimewa bersama kopi atau teh terutama sepanjang Ramadan.
Dibuat daripada campuran tepung beras dan air daun pandan yang memberikan warna hijau asli dengan inti gula melaka serta lapisan luar kuih diselaputi parutan kelapa memberikan pengalaman rasa yang kenyal dan lembut semasa pertama kali digigit.
Tetapi sayangnya kebanyakan generasi muda tidak mengenal kuih tradisional kita ini kerana inti kuih onde-onde telah diinovasi dengan pelbagai perisa seperti coklat, keju dan strawberi. Hal ini menyebabkan hilangnya keaslian serta nilai tradisional kuih tersebut.
Pemodenan dapat membantu makanan tetap relevan tetapi perlu dilakukan dengan hati-hati bagi memastikan nilai budaya dan rasa khasnya tetap terjaga. – UTUSAN
NURUL INSYIRAH AZIZ, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)