SAUDARA PENGARANG,
KES kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 sepatutnya meninggalkan kesan dan pengajaran buat ibu bapa. Melihat dari kes ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sukar untuk menjejak suspek memandangkan tidak banyak bahan bukti yang ditinggalkan pembunuh, malah pakar menyifatkan ia sebagai jenayah terancang.
Kerana kes ini juga ibu bapa mula cemas dan bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka. Anak-anak sudah tidak lagi dibiarkan bebas berkeliaran keluar atau bermain tanpa pengawasan atau ditemani ahli keluarga.
Selagi si pelaku belum dicekup dan masih bebas selagi itulah ibu bapa tidak senang duduk dibuatnya. Apartment Idaman, Damansara Damai kini bertukar suasana menjadi suram dan sunyi sepi.
Bahkan pergerakan penghuninya turut diawasi sepanjang masa oleh PDRM sebagaimana situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lama dahulu.
Kes Zayn Rayyan ini boleh disifatkan sebagai misteri malah menjadi semakin rumit di mana si pelaku seumpama seorang penjenayah profesional yang jejak perbuatan jenayahnya sukar dikesan.
Pun begitu, PDRM terus mempergiatkan usaha bagi menjejaki si penjenayah. Mari kita sama-sama mendoakan serta berharap si pelaku itu akhirnya berjaya ditangkap. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Dan disebabkan kes ini dan beberapa kes yang pernah berlaku di negara ini, saya menyaran kepada ibu bapa untuk sentiasa peka dan mengawasi pergerakan anak. Sekiranya berada diluar, pantau dan sentiasa berada di sisi anak, bukannya menyibukkan diri dengan media sosial. Kita tidak tahu siapa yang memerhatikan kita dan apa niat mereka.
Kealpaan boleh menyebabkan anda menyesal seumur hidup. Bak kata orang, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang