Isytihar obesiti sebagai penyakit kronik - Utusan Malaysia

Isytihar obesiti sebagai penyakit kronik

PENTING untuk kita menyedari bahaya obesiti dan mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan berat badan. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMAI rakyat Malaysia tidak menganggap obesiti atau kegemukan yang disebabkan terdapatnya lemak berlebihan sebagai penyakit meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasi­fikasikannya sebagai penyakit kronik dan epidemik.

Obesiti adalah salah satu daripada cabaran kesihatan awam terbesar di Malaysia. Ia mencatatkan kadar prevalen (tersebar luas) tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

Kira-kira 50.1 peratus dalam kalangan rakyat negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti sekali gus kekal sebagai masalah utama kesihatan awam.

Menurut laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, jumlah populasi dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan adalah 30.4 peratus dan obes sebanyak 19.7 peratus.

Obesiti merupakan titik mula kepada segala jenis penyakit berbahaya. Apabila individu itu disahkan obes, maka lebih mudah untuk menghidap segala jenis penyakit kronik lain seperti diabetes, darah tinggi, barah dan banyak lagi.

Obesiti bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu dan komuniti, malah mengakibatkan implikasi lebih besar kepada sistem kesihatan serta ekonomi.

Individu yang mengalami obesiti cenderung mempunyai kandungan lemak tinggi dalam darah yang boleh menyebabkan penumpukan plak pada dinding arteri.

Ini boleh menyebabkan saluran arteri menjadi sempit dan akhirnya menyumbang kepada penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Obesiti juga berkait rapat dengan risiko diabetes iaitu penyakit kronik disebabkan kadar gula dalam darah yang tinggi atau ketidakmampuan tubuh untuk menggunakan insulin dengan efektif.

Ini boleh menyebabkan peningkatan gula dalam darah dan akhirnya menyebabkan diabetes jenis dua. Di samping itu, individu yang mengalami obesiti lebih cenderung menghidap kanser payudara, rahim, prostat dan usus besar.

Beberapa faktor seperti perubahan hormon dan inflamasi yang berkait dengan obesiti mungkin memainkan peranan dalam perkembangan kanser prostat.

Lebihan lemak dalam badan boleh menyebabkan perubahan dalam faktor-faktor seperti insulin dan hormon pertumbuhan, yang kemudian dapat merangsang pertumbuhan sel-sel kanser.

Dari sudut lain, obesiti boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan mental. Individu yang mengalami kegemukan mungkin menghadapi diskriminasi sosial, tekanan psikososial dan kekurangan keyakinan diri.

Masyarakat sering kali mempunyai persepsi negatif terhadap orang gemuk. Ini boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan.

Keadaan sosial yang merendahkan orang lain atau diri sendiri boleh menyebabkan tekanan psikososial tinggi.

Individu mengalami obesiti mungkin mengalami tekanan untuk memenuhi standard kecantikan yang sering kali ditentukan oleh masyarakat.

Oleh itu, penting untuk menyedari bahaya obesiti dan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan berat badan. – UTUSAN

MUHAMMAD AMER ZHARFAN, Nilai, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya