CABARAN kontemporari masyarakat kini antaranya adalah kurang kefahaman agama, terpengaruh dengan budaya Barat dan merasakan kehidupan beragama hanya bagi mereka yang berusia tua.
Nilai-nilai keagamaan yang semakin rendah serta berlakunya konflik dalam institusi keluarga mampu menyumbang kepada wujudnya penyakit sosial masa kini.
Walaupun pendidikan yang tersedia di peringkat awal persekolahan telah dilaksanakan, namun penekanan kepada penghayatan nilai agama berasaskan ilmu fiqh, akidah dan tasawwuf masih kurang.
Seterusnya, kelemahan penguasaan ilmu fardu ain. Dalam hal ini, dapat dikesan wujudnya sebilangan umat Islam yang tidak menguasai ilmu tersebut pada tahap yang sewajarnya, sehingga ilmu tersebut masih tidak selesai pada usia yang lanjut.
Dengan keadaan demikian, masih banyak kekeliruan yang berkaitan dengan ilmu tentang amalan-amalan asas sebagai orang Islam yang telah mukallaf, sehingga perkembangan ilmu umat Islam dapat dirasakan tersekat.
Oleh itu, menjadi satu keperluan agar ilmu agama yang dipelajari di sekolah terus diperkukuh selepas seseorang menceburi alam pekerjaan.
Proses penambahan ilmu agama perlu berterusan bagi tujuan pengukuhan dan antara proses pengukuhan adalah melalui tilawah al-Quran yang berterusan, memahami tafsir al-Quran, memahami hadis-hadis Nabi Muhammad beserta dengan makna dan maksudnya, melaksanakan amal ibadat, menghadiri kelas pengajian dan kuliah agama serta bergaul dengan orang-orang yang soleh.
Hasil pengukuhan ilmu agama akan melahirkan tindak balas melalui amalan dan penghayatan seseorang terhadap suruhan dan larangan Allah seperti pembentukan disiplin diri.
Islam telah menganjurkan agar mempelajari berkaitan ilmu fardu ain ini. Bermula dengan mempelajari dan memahami asas fardu ain kerana ilmu ini tidak hanya perlu dipelajari peringkat kanak-kanak sahaja, namun ia berkembang mengikut perkembangan seseorang dalam kehidupan.
Kefahaman ilmu mampu dihayati dan diamalkan secara konsisten apabila ilmu fardu ain terus dipelajari secara terpandu dengan merujuk pihak yang sewajarnya.
Akhirul kalam, kesempurnaan agama Islam dengan menyebutkan tiga komponen yang menjadi asas utama agama yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia yang terkandung di dalamnya ibadah yang menjadi tujuan hidup manusia.
Tiga prinsip agama iaitu iman (akidah), Islam (fiqh syariah) dan ihsan (tasawwuf) yang menjadi kewajipan fardu ain untuk dipelajari, difahami dan dilaksanakan.
Jika ditinggalkan salah satu daripada tiga prinsip ini, ia akan mengurangkan atau mencacatkan sifat keberagamaannya. Kegagalan menghayati tiga prinsip agama ini akan merosakkan nilai keagamaan individu tersebut.-UTUSAN
NURAFIQAH NADHIRAH ABDUL HALIM
Mahasiswa