SAUDARA PENGARANG,
ISLAM merupakan agama yang sangat menitikberatkan perbuatan baik kepada kedua ibu bapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibu bapa) merupakan salah satu ibadah yang telah ditetapkan Allah dan ia juga merupakan ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah SWT.
Ada riwayat yang melebihkan darjat kedudukan seorang ibu berbanding bapa dalam isu berbuat baik. Ini dibuktikan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa ada seorang lelaki bertanya soalan kepada Rasulullah S.A.W, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?
Maka Rasullullah S.A.W bersabda: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu”.
Pengorbanan seorang ibu juga adalah pengorbanan paling besar disisi anak. Ini menunjukkan penting untuk mengiktiraf dan menghargai segala jasa mereka.
Ibu memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan anak-anak dengan memberikan kasih sayang, penjagaan dan sokongan. Hubungan antara ibu dan anaknya dianggap sebagai salah satu ikatan yang paling kuat dan paling berpengaruh dalam kehidupan manusia.
Majoriti anak-anak kini memandang rendah terhadap pengorbanan ibu dalam membesarkan mereka. Sedar atau tidak, seorang insan yang bergelar ibu ini semakin lama semakin menjangkau usinya dimamah masa. Kita sering mendengar pepatah, seorang ibu mampu menjaga sepuluh orang anak, akan tetapi sepuluh orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.
Cuba kita tepuk dada tanya hati, berapa ramai anak yang mampu menjaga ibunya dengan baik seperti mana ibunya menjaganya? Berapa ramai anak yang sanggup untuk tukarkan lampin ibunya ketika ibunya sakit? Berapa ramai anak yang mampu menyuap ibunya makan tanpa rasa malu? Berapa ramai anak yang mampu berhenti kerja demi mengutamakan ibunya? Dan yang paling menyentuh hati nurani, berapa ramai anak yang mampu solatkan jenazah ibunya ketika ibunya meninggalkan dunia.
Malaikat tidak bersayap itu adalah ibu. Bagi yang masih mempunyai ibu, hargailah mereka dan jagalah mereka sebaik-baiknya. Lebih atau kurang pun, mereka tetap ibu kita, ibu yang melahirkan kita. Ingat sampai bila-bila. Kita berjaya hari ini pun kerana berkat doa seorang ibu. Doa ibu merupakan doa yang tidak dihijab, pasti akan termakbul.-UTUSAN
EPPY FADELIE SHAHROL
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)