HSR belum begitu diperlukan di Malaysia

HSR belum begitu diperlukan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CADANGAN membina Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) mula tercetus lebih kurang 10 tahun yang lalu sejak di era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak. Cadangan pembinaan projek ini ada masanya senyap, ada masa timbul semula berkemungkinan disebabkan kos pelaksanaan yang agak tinggi dan pihak-pihak berminat memikirkan keperluan penglibatan mereka.

Saya berpandangan bahawa cadangan pembinaan HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura belum begitu mendesak dilaksanakan di negara ini. Ini kerana Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini sedang hampir menyiapkan laluan berkembar dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Sudah pasti perkhidmatan tren elektrik (ETS) seperti yang ada dari Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) ke Padang Besar, Perlis juga akan mengadakan perkhidmatan hingga ke Johor Bahru.

Pengalaman saya, menaiki ETS dari KL Sentral ke Butterworth sangat selesa dan dengan kelajuan maksimum 150 kilometer (km) sejam sangat memadai jika dibandingkan dengan pengangkutan awam seperti bas ekspres atau memandu sendiri.

Keduanya, harga tiket bagi penumpang HSR pastinya lebih tinggi berbanding harga tiket KTMB-ETS. Ini akan membebankan golongan yang menggunakan perkhidmatan tersebut secara harian.

Ketiga, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kelantan melalui Terengganu, Pahang, Selangor serta Pelabuhan Klang masih dalam pembinaan dan dijangka beroperasi pada 2027. Elok sekiranya kerajaan melihat dan meneliti pengoperasian ECRL ini terlebih dahulu sekurang-kurangnya untuk tempoh selama 10 tahun.

Tujuannya untuk dijadikan kayu ukur dan asas kajian sama ada projek HSR ini berdaya maju atau tidak untuk dilaksanakan berdasarkan pencapaian dan prestasi ECRL selepas 10 tahun beroperasi.

Keempat, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk melaksanakan projek mega yang melibatkan kos tinggi walaupun secara penswastaan. Ia akan memberi implikasi kepada kerajaan dan negara kerana terikat dengan syarikat dari luar negara.-UTUSAN

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya