SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT banyak kesan negatif dari jenayah buli antaranya menjejaskan kesihatan, menjejaskan insitusi pendidikan dan kesan psikologi yang berpanjangan. Ibu bapa perlulah sentiasa cakna dengan segala perbuatan dan aktiviti seharian anak-anak. Sebagai contoh, mengenali siapa mereka berkawan, mendengar cerita serta bertanya tentang aktiviti seharian persekolahan mereka.
Ibu bapa dapat mengetahui tentang perkembangan anak-anak dan ibu bapa akan menjadi lebih peka sekiranya anak-anak mereka menjadi mangsa buli atau pembuli. Tanggungjawab pihak sekolah dalam menangani kes buli ini amat penting kerana ia adalah tempat permulaan para pelajar akan menjadi seorang mangsa buli dan seorang pembuli.
Pihak sekolah perlu mengadakan kempen tentang kesan dan hukuman jenayah buli ini untuk memberi kesedaran pada para pelajar agar tidak berani untuk melakukan jenayah buli. Peranan guru-guru sangat penting dalam mendidik para pelajar dan lebih peka dengan situasi sekeliling yang berlaku dalam kawasan sekolah.
Penglibatan komuniti dalam inisiatif pencegahan buli penting untuk mencipta persekitaran yang lebih selamat dan inklusif. Masyarakat setempat perlu sentiasa peka dengan isu semasa sama ada di surat khabar atau di kaca televisyen. Dengan adanya teknologi canggih zaman kini, masyarakat sekeliling boleh mengakses pelbagai berita dan isu semasa agar lebih peka dengan jenayah yang berleluasa dan lebih berhati-hati.
Oleh itu, kita perlu membendung jenayah buli ini untuk memastikan anak-anak dan para pelajar sentiasa berasa ceria, semangat dan selamat untuk pergi ke sekolah. Kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan ibu bapa yang prihatin perlulah sentiasa memantau pergerakan anak-anak kita dan masyarakat sekeliling. Kita sebagai rakyat, wajiblah untuk berusaha dalam mengekalkan keamanan sejagat dan keharmonian dalam negara Malaysia ini. – UTUSAN
NURAQILAH ADLINA MD. NOOR
Universiti Sains Islam Malaysia