SAUDARA PENGARANG,
DI dalam Perlembagaan Persekutuan ada dimaktubkan beberapa elemen warisan yang mengangkat kedudukan orang Melayu sebagai teras kependudukan di negara ini.
Antaranya hak-hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan dan keistimewaan raja-raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Semua perkara tersebut diterima dengan baik oleh penggubal perlembagaan terbabit ketika negara mahu diberikan kemerdekaan.
Malah, ia menjadi sebahagian daripada kontrak sosial yang diterima dengan baik oleh kaum-kaum bukan Melayu yang telah diberikan status kerakyatan sebaik sahaja negara merdeka.
Justeru, dari sudut politik, sejak awal kemerdekaan negara lagi ketuanan politik Melayu telah difahami dan diiktiraf oleh semua pihak, dalam dan luar negara.
Dua lagi kaum utama, iaitu Cina dan India yang dahulunya dbawa masuk oleh British untuk tujuan kepentingan ekonomi penjajah selain agenda-agenda tersembunyi mereka telah diterima sebagai warganegara dengan syarat-syarat ditetapkan.
Mereka diberikan pelbagai hak untuk hidup di tanah Bani Jawi (Melayu) ini dengan aman dan harmoni.
Toleransi bangsa Melayu cukup tinggi terhadap sehingga mereka berjaya membina kehidupan cukup baik.
Malah dalam banyak sudut lebih baik dan berjaya daripada kaum Melayu dan bumiputera sendiri.
Namun, apa yang berlaku sejak sedekad lalu, iaitu setelah berlakunya perubahan politik dan pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan dan beberapa negeri, maka hal-hal berkaitan kemelayuan termasuk hak-hak istimewa orang Melayu tidak lagi menonjol atau tidak lagi diberikan tumpuan sewajarnya.
Ada suara-suara sumbang yang mempertikai hak keistimewaan Melayu. Suara-suara sumbang ini telah lama, cuma dalam politik semasa ia lebih berani dan garang.
Mereka mahukan kesamarataan, mahu menuntut kuasa politik yang lebih, mahu menerajui kepemimpinan negara dan lebih jauh lagi ada yang berani mempertikai sejarah dan keberadaan bangsa Melayu di negara ini.
Serangan-serangan psikologi dan minda golongan politikus yang anti-Melayu dan anti-Islam dan juga Melayu liberal yang telah cair jati dirinya benar-benar memberi kesan kepada kehancuran ketuanan politik Melayu.
Mereka menggasak minda orang Melayu dan kaum-kaum lain dengan memberikan gambaran-gambaran buruk tentang kepemimpinan Melayu yang kononnya sangat korup sehingga akhirnya menjatuhkan kuasa politik Melayu.
Mereka kemudiannya mengambil alih pentadbiran negara. Setelah kuasa berada di tangan mereka, hal-hal berkaitan bangsa Melayu tidak banyak disebut dan diberi perhatian lagi.
Malah dengan ada larangan membangkitkan persoalan agama, raja dan kaum (3R) yang tidak jelas definisi atau tafsirannya, dengan mudah akan memerangkap sesiapa sahaja yang cuba menyentuh soal kedudukan orang Melayu.
Walaupun pemerintah mendakwa akan menjaga dan mempertahankan hak orang Melayu tetapi kita mendapati peruntukan berkaitan agenda Melayu dan bumiputera semakin kabur dan mengecil dalam belanjawan tahunan.
Hal-hal berkait kedudukan orang Melayu ini tidak begitu dikisahkan atau dipedulikan lagi. Ia tidak lagi menampakkan kesungguhan kerajaan mempertahan dan memperkukuhkannya.
Mungkin tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan, hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam perundangan tertinggi negara sudah boleh dicairkan atau dilemahkan melalui dasar-dasar yang semakin kabur dan liberal. – UTUSAN
MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas