SAUDARA PENGARANG,
SETAKAT hari ini, masih tidak wujud tanda-tanda Israel telah benar-benar menguasai wilayah utara dan bandar Gaza walaupun kedua-dua wilayah ini telah dikepung sejak 6 November.
Kemaraan tentera Israel dilihat berlaku dengan sangat perlahan ekoran tentangan hebat yang diberikan oleh Hamas dan kumpulan pejuang yang lain.
Serangan Israel juga dilihat masih tertumpu kepada serangan udara dan darat. Peperangan dalam terowong belum pun bermula.
Walhal jika Israel benar-benar ingin menghapuskan Hamas, mereka sepatutnya sudah mula memasuki dan menyerang terowong-terowong di Gaza.
Dengan kata lain, lagi lama Israel menangguhkan peperangan dalam terowong, lagi tinggi risiko tempoh perang terpaksa dilanjutkan. Ini akan turut memberi tekanan ekonomi kepada Israel dengan perbelanjaan perang hari ini dianggarkan mencecah AS$237 juta sehari.
Ini tidak termasuk kerugian sehingga AS$600 juta seminggu ekoran aktiviti ekonomi yang tergendala.
Sehingga saat ini, Israel dapat menyerap semua tekanan ini termasuk tekanan politik dan diplomatik ekoran sokongan tidak berbelah bahagi daripada Amerika Syarikat (AS). Jika tidak, mustahil Israel dapat terus bertahan.
Pun begitu, keupayaan AS semakin menipis. US telah mengusulkan bantuan bernilai AS$10 bilion untuk Israel kepada Kongres. Tapi bantuan ini hanyalah 20 peratus daripada unjuran keperluan perang yang sebenarnya. AS tidak dapat menyalurkan bantuan lebih besar kerana negara itu masih perlu berbelanja besar untuk perang di Ukraine.
Ruang untuk AS memberi perlindungan diplomatik kepada Israel juga semakin sempit. Setakat hari ini, AS telah memveto empat resolusi antarabangsa, dua resolusi Majlis Keselamatan dan dua resolusi Perhimpunan Agung, yang menuntut gencatan senjata dilaksanakan.
Terbaru, AS dikecam hebat kerana memveto draf resolusi yang diusulkan selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggunakan Artikel 99 untuk mendesak Majlis Keselamatan melaksanakan gencatan senjata di Gaza.
Ini kali pertama sejak tahun 1989 kuasa artikel ini digunakan untuk mengelak bencana kemanusiaan yang lebih besar.
Kecaman tersebut tidak hanya memberi kesan kepada reputasi AS di peringkat antarabangsa bahkan turut memberi kesan kepada reputasi Presiden Biden apabila kadar populariti beliau merosot kepada 31 peratus, lebih rendah daripada kadar populariti Donald Trump pada tahap 37 peratus.
Jadi, bilakah perang akan berakhir. Tidak lama lagi, insya-Allah. Isyarat yang ada menunjukkan Israel tidak mampu menempuh perang yang panjang.
AS pula sudah cukup terbeban dengan perang di Ukraine untuk membuka satu lagi medan di Israel. Tambahan pula, naratif operasi ketenteraan Israel sudah tidak dapat dipertahankan lagi selepas lebih 18,000 orang penduduk Gaza terbunuh, majoriti daripadanya wanita dan kanak-kanak.
AS perlu memaksa Israel untuk berpijak di bumi nyata dan menyedari bahawa matlamat perangnya hampir mustahil dapat dilaksanakan. Gencatan senjata adalah jalan terbaik untuk Israel keluar dari perang kali ini.
Paling tidak gencatan senjata mampu membebaskan rakyat dan tenteranya yang ditawan. Jika tidak, bukan hanya Benjamin Netanyahu dan Israel yang perlu membayar harganya, AS dan Joe Biden juga akan terheret sama.
Sama-sama kita doakan. – UTUSAN
KHALID JIMAT
Ketua Pegawai Penyelidik
Palestine Centre of Excellence (PACE)