SAUDARA PENGARANG,
TUDUHAN bahawa ada pendakwah selebriti menuntut bayaran sehingga RM40,000 adalah tuduhan tanpa bukti dan dibuat sewenang-wenangnya.
Dengan meletakkan foto seorang selebriti terkenal, nampak jelas niat penuduh, siapa yang dimaksudkan. Beberapa orang pendakwah menafikan yang mereka menuntut bayaran yang tinggi.
Perlu difahami, pendakwah selebriti juga pendakwah secara umum, melakukan kerja dakwah, iaitu menyampaikan ilmu agama, menarik khalayak ke arah kebaikan, menghindarkan kemungkaran dan berusaha ke arah kemaslahatan ummah.
Mereka ini menggunakan bakat dan keupayaan kurniaan Allah dan sebagai pewaris Nabi, mereka tentulah cukup memahami niat dan tujuan mereka diundang untuk menyampaikan risalah keagamaan.
Tidak dinafikan bahawa sebahagian besar daripada mereka mengenakan bayaran tertentu, namun tidak kurang yang tidak menetapkan sebarang bayaran dan terpulang kepada ihsan penganjur.
Jika tuduhan dibuat secara semberono dan tanpa bukti, ia boleh dianggap fitnah. Dari sudut lain, kerja berdakwah perlu dianggap sebagai satu kerja profesional, sama seperti pelakon atau penyanyi.
Pendakwah perlu membuat persediaan rapi, menyelitkan ilmu agama, menyertakan contoh-contoh bersesuaian. Mereka ada keluarga, tanggungan dan perbelanjaan tertentu yang perlu dilunaskan. Ada sebahagian daripada mereka terbabit secara langsung dengan madrasah, pusat tahfiz dan pusat pengajian agama.
Maka orang awam perlulah berhati-hati dalam memberikan pandangan dan ulasan tentang isu ini. Kita tidak mahu golongan agama ini disalah anggap dan dipandang serong oleh masyarakat.
Tugas mereka sebagai penyampai seruan agama, perlu diberi sokongan oleh kita semua. Dalam senario masyarakat yang dahagakan aspek kerohanian dan tarbiah, sumbernya pula insan yang berautoriti, maka aktiviti mereka perlu diberi dukungan.
Kita tidak mahu pergantungan sesetengah pihak tertentu kepada maklumat yang didapati secara dalam talian, yang belum dapat dipastikan kebenarannya. Ada juga yang menyimpang dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. –UTUSAN
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat