SAUDARA PENGARANG,
SYABAS kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membuat operasi mengejut di Jalan Silang yang terkenal dengan jolokan Mini Dhaka.
Heboh juga di Pengerang, Johor mengenai ratusan warga asing daripada Bangladesh berarak ke balai polis untuk membuat laporan kerana ditipu ejen.
Kita mahu tahu berapa ramai warga asing yang diimport masuk ke Pengerang tetapi kerjanya tidak ada pun. Ejen kaya raya tapi menyusahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia. Bahkan kerajaan pula perlu membantu golongan ini akibat mereka ditipu.
Jadi, kerajaan mahu atau tidak perlu menyiasat sama ada pekerja asing Bangladesh di sini sudah menjadi ejen untuk bawa masuk rakan-rakan mereka ke negara ini atau ada dalam kalangan mereka membuka cawangan di Malaysia untuk membekalkan pekerja.
Isu lambakan warga asing Bangladesh amat serius kerana di mana-mana sahaja sama ada bandar atau kampung kita akan melihat golongan ini.
Pergi Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ada mereka, pergi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pun penuh dengan orang mereka. Lagak mereka sudah tidak ada beza dengan orang tempatan. Bahkan, mereka boleh bernikah dengan dengan wanita Malaysia, membeli motor, membeli kereta dan mempunyai kilang jahit sendiri.
Adakah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Imigresen tidak sedar akan perkara ini kerana kedai-kedai yang dibuka bukan tersorok di belakang lorong. Orang kita pula sampai minta kerja kepada tauke ini seolah-olah kita ‘angkut’ mereka masuk ke negara ini untuk jadi bos.
Elok kerajaan berhenti dulu tambah pekerja Bangladesh sehingga keadaan menjadi terkawal. Ini bukanlah lagi soal biarlah nak berniaga rezeki masing-masing.
Jika terus begini, bagaimana kita mahu warisi negara ini kepada anak cucu nanti? Ambil iktibar saudara kita di Palestin jangan sampai menyesal di kemudian hari.-UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur