SAUDARA PENGARANG,
JIKA tidak sempat berbakti ketika ibu bapa masih hidup, teruskanlah berbakti walaupun mereka sudah tiada. Salah satu kewajipan yang harus selalu dilakukan seorang anak ialah mendoakan ibu bapa.
Waktu berdoa mustajab pada waktu selepas solat, antara azan dan iqamah, ketika hujan dan lain-lain.
Jadikan amalan setiap hari. Kita boleh mengirimkan doa buat ibu bapa selepas menunaikan solat fardu. Oleh itu, kita akan terus-menerus mengingati mereka setelah selesai solat.
Berbakti kepada ibu bapa juga boleh dilakukan melalui bersedekah. Apabila seorang muslim meninggal dunia, terputuslah semua amalnya, kecuali tiga perkara iaitu sedekah, ilmu dan anak yang mendoakannya.
Selain itu, wajib untuk melunaskan hutang-hutang ibu bapa semasa hidup. Sekiranya tidak sempat melunaskan hutangnya, maka hutang tersebut mestilah dilunaskan oleh waris dan ahli keluarganya.
Hutang tersebut wajib ditanggung oleh ahli keluarga arwah. Arwah tidak akan terlepas daripada belenggu hutang melainkan pihak yang memberikan hutang itu menghalalkannya.
Hutang juga melibatkan tuntutan agama seperti hutang zakat, hutang haji, hutang kifarah, hutang nazar dan sebagainya.
Contohnya, sekiranya arwah tidak membayar zakat harta sepanjang hayatnya, maka wajib dikeluarkan zakat sebelum harta arwah tersebut dibahagikan kepada waris yang berhak mendapatkannya.
Maka langsaikanlah hutang-hutang ibu bapa kita supaya memudahkan mereka di akhirat nanti.
Anak juga boleh berbakti dengan menjaga nama baik ibu bapa yang sudah meninggal dunia dengan tidak menyebarkan aib, menjaga rahsia dan jangan sampai timbul fitnah.
Itulah beberapa cara berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Semoga informasi ini bermanfaat dan dapat membantu siapa sahaja, sehingga boleh terus berbakti kepada ibu bapa kita walaupun mereka sudah tiada. – UTUSAN
SITI NUR AFIQAH BAKRI
Pelajar Tahun Dua Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM)