Bela nasib pengilang beras Melayu

Bela nasib pengilang beras Melayu

KESUKARAN mendapatkan bekalan beras tempatan dan juga import merupakan punca utama kegagalan pemborong Melayu beroperasi ketika ini berbanding 10 tahun lalu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) baru-baru ini telah mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.

Ini membuktikan bahawa kartel itu wujud dan tidak terkecuali kepada industri beras. Oleh yang demikian, kami mendesak MyCC melaksanakan tindakan sama bagi kartelkartel yang sudah lama sengaja membuat aturan membunuh pemain-pemain kecil dalam industri beras ini namun telah dikaburi melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Dengan berbaki 10 buah kilang Melayu seluruh Malaysia dan semakin berkurang jumlahnya membuat kami tertanya adakah kerajaan sekarang hanya menjaga kelompok pengilang besar yang ketika ini dilihat bermaharajalela memonopoli bekalan padi dari seluruh negara tanpa sebarang kawalan daripada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan?

Tiada lagi penguatkuasaan melalui lesen kilang padi bagi mengawal serta mengharmoni pasaran padi tempatan. Jika keadaan ini berlanjutan tanpa tindakan penguatkuasaan pasti akan memperkuatkan lagi kartel-kartel padi beras ini memonopoli serta menguasai industri padi beras negara.

Sekarang telah dilihat kartel-kartel ini menguasai serta menentukan harga beras tempatan dan juga import. Kesukaran rakyat untuk mendapatkan bekalan beras putih tempatan ketika ini menjadi bukti penguasaan kartel-kartel ini menguasai pasaran padi beras negara.

Bagi pihak Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) yang telah berkecimpung dalam industri hampir 50 tahun serta melalui pelbagai krisis padi beras semenjak 1973 hingga kini amat sedih dan kecewa kerana melihat dengan mata kepala kami di mana rakyat Malaysia serta saudara mara kami ditipu dengan harga beras ketika ini.

Tiada lagi keupayaan kami untuk menghalang penipuan ini berlaku hasil daripada mereka yang diberi kuasa mengurus tadbir industri padi beras negara ketika ini.

Penyertaan pemborong Melayu yang sangat minimum iaitu kurang 10 peratus yang aktif ketika ini masih lagi gagal mendapat perhatian serta tindakan daripada pihak kerajaan.

Kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan dan juga import merupakan punca utama kegagalan pemborong Melayu beroperasi ketika ini berbanding 10 tahun lalu.

Keengganan kilang beras untuk menjual beras kepada pemborong Melayu walaupun kementerian telah mengeluarkan surat bekalan intervensi beras 20 peratus setelah berlaku kenaikan harga beras mendadak bermula pertengahan tahun lalu.

Dengan berbaki kurang daripada 10 buah kilang beras Melayu juga, adalah salah satu mengapa sukarnya pemborong Melayu mendapatkan bekalan beras berbanding dulu yang terdapat banyak kilang-kilang Melayu.

Tiada lagi ruang untuk kilang Melayu bangkit untuk bersama dalam industri padi beras negara ketika ini. Tiada lagi skim-skim untuk kilang dan pemborong Melayu seperti mana era Lembaga Padi Beras Negara (LPN) dahulu.

Kewujudan kilang-kilang Melayu adalah hasil daripada skim dibawah LPN. Malahan dipinggirkan terus di bawah Kementerian Pertanian.

Tiada lagi keistimewaan yang diberi kepada kilang Melayu oleh LPN seperti pembekal beras stok pail negara, skim untuk kilang Melayu serta beras import. Semua ini berlaku setelah penswastaan LPN pada 1996. – UTUSAN

AHMAD YAZID OTHMAN
Felo Kanan
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya