SAUDARA PENGARANG,
PELIK bin ajaib masih banyak projek kondominium mewah sedang naik ketika Malaysia masih lagi heboh dengan isu rumah tak terjual.
Di Setapak, Wangsa Maju dan kawasan berdekatan penuh dengan projek kondominium mewah baharu. Sebaliknya berapa banyak projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu dibina kerajaan berbanding menggalakkan syarikat swasta membina kondominium mewah yang berharga lebih RM400,000? Dengan harga sebegitu, ramai rakyat Malaysia tidak mampu membeli rumah sendiri.
Jika begini, nampaknya yang kaya kekal kaya kerana mereka mampu membeli tiga atau empat buah rumah dan menyewakan unit-unit rumah mereka kepada warga asing dari Korea dan Singapura. Bagi warga asing, setakat membayar sewa antara RM3,000 hingga RM4,000 tiada masalah.
Sedangkan orang Melayu yang menetap di Kuala Lumpur pula akan menyewa rumah sampai ke tua kerana tidak akan mampu membeli rumah ekoran harga hartanah yang tinggi dan tidak masuk akal. Kos sara hidup yang tinggi termasuk kos menyewa dan komitmen seperti bayaran ansuran kereta, bil air, elektrik, petrol dan barangan dapur perlu diutamakan.
Sebelum ini, Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terdahulu pernah mencadangkan untuk mengambil pakar perumahan Singapura bagi membantu menyelesaikan isu perumahan di negara ini tetapi ramai pula yang membangkang sedangkan semua tahu kerajaan Singapura mampu membina flat Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) kepada rakyat.
Sebaliknya Malaysia jauh berbeza, sentiasa bergantung kepada kemahuan pemaju. KPKT dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu perbanyakkan projek pembinaan PPR macam dulu-dulu supaya orang Melayu menetap di Kuala Lumpur masih ada harapan untuk membeli rumah sendiri.-UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur