SAUDARA PENGARANG,
PADA setiap 1 Januari, ruangan media sosial pasti akan dipenuhi dengan hantaran azam tahun baharu. Persoalannya, adakah kita benar-benar faham apa makna di sebalik kata ‘azam’ tersebut?
Azam atau juga boleh disebut sebagai resolusi merupakan gagasan perubahan yang positif untuk mencapai tujuan tertentu dalam hidup sepanjang tempoh setahun yang akan datang. Penetapan azam adalah merupakan cara untuk seseorang individu memotivasikan diri, merumuskan tujuan yang diidamkan dan memusatkan fokus pada peningkatan kendiri atau pencapaian sepanjang tempoh setahun. Ia boleh mencakupi pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, kerjaya, hubungan interpersonal dan juga peningkatan kendiri ke arah yang lebih positif.
Namun, jangan pula kita lupa tentang kesejahteraan minda yang merupakan aspek utama dalam kecemerlangan untuk mencapai sesuatu azam. Kesihatan minda yang baik membolehkan kita berfungsi dengan optimal dalam menempuhi cabaran dan dinamika lingkungan yang beraneka ragam.
Terdapat beberapa tips yang boleh membantu untuk membentuk minda yang sihat antaranya pilihlah kawan yang bersikap positif yang mana boleh berkongsi nilai yang sama, saling memotivasikan diri dan membimbing ke arah untuk mencapai azam tahun baharu. Walaupun begitu, jangan pula kita tinggalkan kawan yang tidak memberi kesan positif kepada diri, tetapi sebaliknya bantulah mereka dengan mengajak mereka bersama-sama ke arah peningkatan diri yang lebih baik.
Selain itu, muhasabah atau refleksikan diri. Ambil masa sejenak untuk kita merefleksikan diri, menilai tindakan dan berusaha untuk terus memperbaiki diri. Dengan cara ini, kita secara tidak langsung melatih diri untuk tidak mudah melatah sebaliknya akan lebih berfikiran rasional dalam menghadapi cabaran dan rintangan.
Seterusnya adalah sayangi diri dengan membina aura positif dan menghindari perkara yang boleh merugikan diri. -UTUSAN
SITI NURMALIYA ZAKARIA DAN DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya