SAUDARA PENGARANG,
MASALAH utama pendidikan di negara ini bukanlah pada kekaburan idea, kelemahan perancangan pendidikan dan kekurangan jentera pendidikan, tetapi sebenarnya disebabkan kekaburan pemahaman dan kurangnya keberkesanan pelaksanaan pendidikan. Inilah masalah pendidikan sejak sekian lama.
Apakah maksud kejayaan pendidikan di negara kita? Rata-rata ibu bapa dan guru faham dan akan jawab bahawa kejayaan pendidikan maksudnya murid cemerlang dalam peperiksaan dan mendapat markah yang tinggi. Bila ada peperiksaan, siapa paling banyak gred A itulah murid paling cemerlang dalam pendidikan.
Namun, bagaimana pula potensi pendidikan selain pencapaian dalam peperiksaan seperti sukan, kepimpinan, penulisan, kesenian, kesukarelawanan, keusahawanan, inovasi, komunikasi, muzik dan berbagai lagi potensi atau bakat yang lain? Apakah itu semua bukan kejayaan pendidikan?
Cuba buka minda dan lihat realiti di negara kita. Apakah hanya orang yang cemerlang akademik sahaja yang berjaya dalam hidup mereka? Bagaimana ahli sukan, pemuzik, pelakon, penyanyi atau usahawan? Apakah mereka gagal dalam hidup? Bukankah mereka juga ramai yang berjaya? Mengapa kita hadkan makna kejayaan pendidikan hanya pada pencapaian akademik?
Makna kejayaan pendidikan bukan hanya cemerlang dalam peperiksaan sahaja. Sebab itu makna kejayaan pendidikan mesti difikirkan kembali.
Sistem pendidikan haruslah lebih terbuka untuk menjayakan murid-murid. Bukanlah semata-mata berjaya dalam akademik sahaja tetapi juga dalam boleh berjaya dalam berbagai bentuk kejayaan pendidikan yang lain.
Kita kena betulkan kekaburan makna kejayaan pendidikan ini. Bila anak-anak gagal atau tidak hebat dalam akademik barulah kita alihkan mereka pada perkara yang lain. Mengapa tidak dari awal lagi, kita jayakan pendidikan mereka mengikut keupayaan dan bakat mereka?
Apa yang penting di peringkat paling awal di sekolah rendah ialah semua anak-anak mestilah menguasai dengan baik membaca, menulis dan mengira serta perlu mahir berkomunikasi sekurang-kurangnya dalam dua atau tiga bahasa. Itulah pendidikan asas. Bukan kejar siapakah paling pandai membaca, menulis atau mengira tetapi memastikan semua murid boleh kuasai dengan baik.
Seterusnya, seawal mungkin murid-murid perlu didedahkan dan tahu apakah potensi dan bakat mereka. Dengan bantuan ibu bapa dan guru-guru, anak-anak ini sentiasa bermotivasi untuk menunjukkan kebolehan dan bakat sendiri. Itulah pendidikan. Masing-masing ada acuan sendiri untuk cemerlang dalam pendidikan.
Jika anda tahu anak-anak anda hebat dalam sukan, seni, orator, usahawan, tarian, lukisan, inovasi, teknikal dan sebagainya, jangan paling ke belakang lagi. Pertama, pastikan mereka kuasai sebaiknya kemahiran asas 3M, kuasai komunikasi dengan baik dua bahasa, kukuhkan akhlak dan agamanya.
Kedua, dedahkan mereka dengan pelbagaikan bentuk bakat dan lihat potensi mereka. Seterusnya bersungguh-sungguhlah membina kejayaan anak-anak anda mengikut kebolehan, potensi dan bakat mereka. Jangan mengalah atau putus asa. Jika perlu berkorban wang ringgit untuk pendidikan anak-anak, lakukanlah.
Setiap anak-anak ada peluang untuk jadi hebat dengan keupayaan yang ada pada mereka. Percayalah, jika anda sentiasa menyokong usaha mereka, andalah yang akan menjadi orang paling gembira dengan kejayaan pendidikan mereka.-UTUSAN
DR. ANUAR AHMAD
Pensyarah Universiti Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia