SAUDARA PENGARANG,
DALAM beberapa hari lagi akan berakhir tahun 2023. Kita mengeluh lagi, alangkah cepat masa berjalan. Alangkah pantasnya beralih tahun.
Kita menjadi setahun lagi lebih tua, walaupun belum tentu lebih bijaksana dan lebih cerdik. Tahun baharu 2024 datang melabuhkan dirinya dengan segala janji dan harapan.
365 hari kemudian berakhir lagi tahun itu. Bagaikan ritual tahunan, kita membuat ikrar untuk kemudiannya tidak ditepati. Kita menulis catatan harian untuk kemudiannya ditinggalkan di tengah jalan.
Kita bertekad untuk berubah menjadi lebih baik, lebih berjaya atau lebih tekun, sayangnya janji selalu tinggal janji.
Lalu kita membuat janji tahun berikutnya. Apabila dentingan jam menandakan pukul 12 tengah malam, kita selalunya terlalu letih untuk mengingat janji dan memperteguh ikrar.
Agaknya membuat ikrar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bukan lagi wajar buat mereka yang berusia 40-an atau lebih.
Anak-anak muda yang membanjiri Dataran Merdeka kini bercakap dalam ‘bahasa’ yang berbeza. Bagi anak-anak ini, generasi yang berusia 30-an dan 40-an sudah terlalu tua hingga membolehkan dipanggil pak cik dan mak cik.
Keluhan lagi. Zaman sudah jauh berubah. Kira-kira 20 tahun lalu, hanya orang mewah menggunakan kereta dengan penyaman udara di kala ramai yang berjalan kaki serta menggunakan bas ekspres.
Tempoh 35 tahun lalu, orang Melayu hanya layak menjual rojak dan mi rojak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Begitu pantas zaman berubah.
Anak-anak kecil terdedah kepada teknologi terbaharu dan laluan lebuh raya maklumat yang mengagumkan.
Mereka membuat kerja rumah melalui telefon pintar dan menempuh dunia fantasi dan pertarungan sengit melalui simulasi permainan video.
Sedangkan ibu bapa mereka baru 30 tahun mengenal televisyen. Esok entah apa lagi yang muncul.
Kita menjadi terlalu tua kerana melayani kekaguman dan kehairanan. Maklumat datang bagai halilintar.
Dunia sebenarnya telah lama tanpa sempadan. Dunia menjadi kampung global yang direntang tali-temali kabel telefon dan entah apa lagi.
Dalam pada itu, menutup ruang angkasa bukan sahaja tidak bijak tetapi mustahil. Lambat-laun, liputan jalur lebar rangkaian telekomunikasi generasi kelima (5G) akan menakluki kita.
Imperialisme (perluasan kuasa) baharu, sekiranya berlaku adalah dalam bentuk memaksakan nilai luar (mungkin buruk, negatif dan rakus) ke atas nilai tempatan melalui telefon pintar.
Bagi masyarakat yang tidak bersedia untuk bersikap terbuka dan berani mendepani fenomena komunikasi masa depan, masyarakat itu akan tertinggal jauh di belakang.
Generasi Malaysia yang menjadi lebih baik mutu hidup dan lebih mewah ini memperoleh semua kejayaan melalui usaha kuat.
Juga, pegangan kukuhnya pada nilai kekeluargaan dan prinsip agama serta tradisi Timur yang kuat. Buat masa depan, permainannya berbeza.
Percaturannya juga berbeza. Ditambah dengan kemasukan pengaruh negatif dalam pelbagai bentuk secara langsung atau tidak langsung, kita tidak boleh membayangkan apakah nanti nilai masa depan rakyat kita.
Tahun 2024 juga belum tentu menjanjikan lebih banyak kewarasan dalam dunia kecoh dan riuh ini.
Kita melihat hipokrasi pada peringkat paling buruk apabila negara maju cuba menangani masalah Palestin. – UTUSAN
ARIF MUSTAQIM MD. SALLEH, Jurutera pembinaan