Tunggu siar dalam akhbar baru nak serbu lokasi PATI? - Utusan Malaysia

Tunggu siar dalam akhbar baru nak serbu lokasi PATI?

PERNAH wujud Mini Manila di bangunan Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SERBUAN ke atas ‘Mini Manila’ di bangunan Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur oleh Jabatan Imigresen (JIM), baru-baru ini hendaklah dijadikan sebagai permulaan kepada lebih banyak serbuan di tempat lain.

Terbinanya tempat tumpuan warga asing yang dikenali dengan gelaran ‘mini’ ini tidak secara langsung menggambarkan lokasi berkenaan hak milik mereka dan boleh melakukan apa sahaja waima bertentangan dengan undang-undang negara.

Mereka menjadi besar kepala, berbangga bersama koloni negara asal dan tidak mustahil akan menguasai sektor ekonomi haram seperti menjual barangan tiruan termasuk seludup rokok dan minuman keras, seterusnya menjadi ancaman kepada rakyat tempatan dalam bidang perniagaan.

Rakyat mengharapkan serbuan ini berterusan untuk mengekang kedegilan warga asing yang masih kalis undang-undang dan peraturan imigresen negara.

Yang menjadi persoalan dan kemusykilan rakyat adalah kelewatan JIM membuat serbuan walaupun kisah Mini Manila di Kompleks Kota Raya telah lama dipaparkan dalam akhbar.

Banyak juga disiarkan dalam akhbar aduan penduduk di tempat lain mengenai kawasan mereka menjadi tumpuan warga asing berniaga secara haram, tinggal melebihi masa dan menyalahi pas pekerja.

Oleh itu, JIM perlu membuat serbuan secara berterusan untuk menunjukkan keseriusan kerajaan menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) ini.

JIM memang berkemampuan melakukan serbuan secara kerap dalam mengekang warga asing yang sudah menjadi ancaman keselamatan dan ekonomi negara. Kalau perlu, libatkan sama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan tentera.

Diharapkan JIM bertindaklah dengan segera terutama di lokasi panas dan tempat tumpuan warga asing seperti di Lembah Klang sebelum mini yang lainnya bertambah besar dan melenyapkan bandar sedia ada.

Kita tidak mahu Lembah Klang nanti dikenali sebagai bandar atau kota warga asing. Adakah kita berbangga dengan situasi ini?  – UTUSAN

SAMPAI BILA, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya