SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya menonton beberapa video dalam YouTube yang memaparkan cadangan pembinaan lebuh raya baharu iaitu Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar, sepanjang 60 kilometer.
Ternyata ia menarik dan membuatkan saya kagum. WISE boleh diklasifikasikan sebagai lebuh raya digital kerana pengguna boleh menggunakan sistem tol mudah lalu lintas dengan teknologi Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).
Teknologi ini dapat mengurangkan kesesakan dan perjalanan pengguna lebuh raya akan lebih lancar dan selamat.
Difahamkan, WISE menyediakan tiga lorong dua hala dengan lorong khas motosikal di kedua-dua arah.
WISE mempraktikkan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam proses pembinaannya.
Teknologi ini boleh menjimatkan masa pembinaan. Saya percaya rakyat negeri Perak dan pengguna yang selalu memandu merentasi Perak tidak sabar menunggu projek ini siap.
Apa yang juga menarik WISE dirangka bagi mencapai kemalangan sifar dan memudahkan aliran trafik di lebuh raya antara bandar khususnya bagi laluan antara Gopeng – Terowong Menora – Kuala Kangsar.
Acap kali berlaku kemalangan di lebuh raya menghala ke Terowong Menora dari kedua-dua arah utara dan selatan.
Akibatnya, selalu berlaku kesesakan teruk dan isu itu sama sekali belum dapat diatasi.
Oleh itu, projek ini merupakan langkah terbaik sebagai alternatif perjalanan yang cepat dan selamat kepada pengguna lebuh raya.
Dalam pada itu, saya melihat WISE sebagai aset strategik masa depan, bukan sahaja untuk Perak malah bagi Malaysia.
Dengan pembinaan lebuh raya ini, saya yakin para pengguna lebuh raya akan menikmati kemudahan perjalanan yang selesa, selamat dan mesra alam.
Ekonomi di Perak dan Malaysia juga akan berkembang lebih pesat dengan pembinaan WISE ini yang merupakan projek pemangkin dan berimpak tinggi.
Atas hakikat tersebut, saya berharap projek ini dapat disegerakan. – UTUSAN
SAMSUDIN AWANG, Presiden Pertubuhan Jasanusa