SAUDARA PENGARANG,
AKTA Pertubuhan Peladang 1973 memperuntukkan penubuhan badan itu berasaskan sesebuah kawasan yang disebut sebagai Kawasan Pengendalian Pertubuhan Peladang.
Kini, lebih 600,000 penduduk luar dan pinggir bandar menganggotai lebih 200 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara tetapi ia seolah-olah tidak mempunyai arah tujuan khusus.
Tujuan sebenar pertubuhan peladang untuk membekalkan input pertanian termasuk bahan tanaman tulen dan baik pada harga berpatutan.
Seterusnya memasarkan hasil keluaran petani dengan harga yang baik. 50 tahun berlalu sejak mula ditubuhkan, namun badan itu masih belum mencapai matlamat penubuhannya.
Sepatutnya struktur awal penubuhan ialah berdasarkan kumpulan pengeluar dan bukannya Unit Pertanian Kecil seperti sekarang.
Seperti terdapat di Kerian dan Lembaga Pertanian Muda (MADA), kumpulan penanam padi boleh merentasi kampung dan mukim tetapi dihadkan dalam satu kawasan Parlimen untuk memudahkan peruntukan pembangunan.
Struktur melalui kumpulan pengeluar akan memastikan kepimpinan di peringkat kawasan, negeri (PPN) dan Persekutuan iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) terdiri daripada petani tulen yang akan mencorakkan dasar untuk memenuhi keperluan ahli-ahli.
Sekarang, PPN dan Nafas mempunyai kedudukan kewangan agak kukuh kerana kerajaaan negeri banyak membantu memberikan aset seperti tanah. Sebaliknya ahli-ahli peladang hanya boleh mengharapkan dividen daripada pemilikan saham yang tidak seberapa di PPK.
Justeru, perkhidmatan seperti pembekalan input dan pemasaran hasil harus disediakan oleh pertubuhan peladang di ketiga-tiga peringkat. – UTUSAN
MOHAMED YUSOFF YAHYA
Batu Gajah