Rombakan Kabinet dapat redakan ketegangan politik - Utusan Malaysia

Rombakan Kabinet dapat redakan ketegangan politik

UPACARA mengangkat sumpah lantikan baharu menteri dan timbalan menteri kerajaan perpaduan berlangsung, Selasa lalu. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA isu hak keistimewaan orang Melayu dibangkitkan oleh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, para pengamat politik hampir kecut perut manakala rakyat mula panik dan hampir-hampir sahaja menjadi bom jangka buat kerajaan perpaduan.

Malahan kenyataan kontroversi Kit Siang mengguris hati dan perasaan pemimpin UMNO, seolah-olah DAP kurang selesa dengan keberadaan parti Melayu di dalam kerajaan.

Mujurlah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengubah fikiran dan menyegerakan rombakan jemaah menteri yang baharu. Sekurang-kurangnya tindakan ini dapat juga meredakan sedikit ketegangan daripada apa yang telah berlaku.

Muka-muka baharu dan lama dibawa masuk ke dalam saf jemaah menteri dan pada masa sama masih mengekalkan senarai menteri dan timbalan menteri sedia ada dengan dilakukan beberapa pertukaran portfolio.

Secara peribadi, pada awalnya Anwar dipercayai mampu memacu negara dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menjadikan Malaysia lebih dinamik, progresif dan lebih merakyat. Itulah harapan awal kami.

Namun, setelah melihat senarai barisan jemaah menteri yang baharu, ternyata tidak memberikan gambaran wajah sebenar Kabinet diharap-harapkan rakyat.

Sepatutnya setelah genap setahun, mana-mana menteri atau timbalan menteri yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan apatah lagi menjadi kritikan rakyat perlulah digugurkan, bukannya ditukarkan ke kementerian lain.

Rombakan ini sudahlah dianggap agak lewat malangnya penyusunan semula struktur kementerian dilihat agak kurang relevan walaupun Anwar mungkin mempunyai perhitungan sendiri dalam mencorakkan pasukan menterinya.

Selain itu, agak sedikit terkilan kerana kebanyakan daripada nama-nama menteri dan timbalan menteri hanya sekadar dikitar semula sementara kemunculan semula Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilantik sebagai Menteri Kesihatan dianggap tepat.

Difahamkan ramai barisan menteri terdiri daripada mereka yang pernah terbabit dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Amat mengecewakan apabila Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof tidak dilantik mengisi kekosongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebaliknya mengekalkan pemangku kementerian itu, Datuk Armizan Mohd. Ali.

Kini, terpulanglah kepada kebijaksanaan Anwar untuk memastikan kedudukan kerajaan perpaduan terus dipertahankan. – UTUSAN

CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya