Pulau tenggelam amaran untuk kita

Pulau tenggelam amaran untuk kita

JUMLAH kenderaan berdaftar di Malaysia mencecah 36.3 juta unit setakat Oktober tahun ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DUNIA kini berada di dalam penderitaan alam sekitar. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia supaya peka dengan situasi serius yang sedang kita hadapi dan mengambil langkah untuk memperlahankan kesan pemanasan global.

Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia mengalami turun naik cuaca melampau yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda akibat banjir dan tanah runtuh teruk yang mengganggu pengeluaran makanan.

Rakyat Malaysia tidak mempunyai alternatif selain menyertai komuniti global dalam mengurangkan kesan pemanasan global yang disebabkan oleh gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana yang memerangkap haba yang terpancar dari permukaan bumi ke angkasa.

Rakyat Malaysia tidak seharusnya leka, memikirkan bahawa kenaikan paras laut yang disebabkan oleh pencairan glasier dan litupan ais hanya akan menjejaskan negara tertentu sahaja.

Ia mempunyai kesan global seperti yang dapat dilihat daripada peningkatan paras laut di kebanyakan bahagian di dunia. Mengelakkan kawasan pantai daripada tenggelam oleh air laut memerlukan usaha global.

Pengurangan besar dalam pelepasan gas rumah hijau adalah pendekatan yang betul untuk mengurangkan dan menangguhkan pemanasan global yang diramalkan oleh saintis akan membanjiri kawasan rendah, termasuk Malaysia.

Bagi mereka yang ragu-ragu terhadap kesan pemanasan global, contoh terbaik ialah Kiribati, sebuah negara di tengah Pasifik, yang dua pulaunya Abanuea dan Tebua Tarawa tenggelam sepenuhnya pada 1999.

Bagi menangani masalah iklim ini memerlukan perubahan dalam gaya hidup. Kita perlu mengurangkan penggunaan, terutamanya pengambilan daging, menggunakan pengangkutan awam dan mencegah pembaziran.

Pengangkutan yang sebahagian besarnya adalah kereta dan motosikal persendirian telah menyumbang kepada 28 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau dan industri ternakan menyumbang 19 peratus.

Kita mestilah beralih kepada menggunakan pengangkutan awam dan makan lebih banyak makanan vegetarian. Penggunaan tenaga kita mesti beralih daripada minyak dan gas kepada tenaga bersih.

Memilih sumber tenaga lestari yang bersih seperti hidrogen, suria, angin, hidro dan kuasa gelombang adalah cara ke hadapan. Malaysia, dalam proses peralihan kepada tenaga lestari yang bersih telah menggunakan gas asli yang kurang mencemarkan untuk menghasilkan tenaga elektrik sambil melihat lebih banyak pilihan lain yang lebih bersih.

Kerajaan perlu meningkatkan penambahbaikan sistem pengangkutan awam dan menghalang pemilikan kereta seperti apa yang dilakukan Singapura. Baru-baru ini dilaporkan jumlah kenderaan berdaftar mencecah 36.3 juta unit setakat Oktober 2023.

Hampir 24 juta daripadanya aktif dengan lesen kenderaan bermotor atau cukai jalan yang sah. Bayangkan jumlah karbon dioksida dan bahan pencemar lain yang dikeluarkan oleh kenderaan ini apabila ia digunakan.

Sementara itu, pengguna boleh mempertimbangkan untuk memasang panel suria pada bumbung kediaman mereka, mematikan peralatan elektrik apabila meninggalkan bilik, membeli peralatan elektrik yang cekap tenaga, memasang lampu dengan pengesan gerakan yang akan padam apabila tiada sesiapa di dalam bilik dan banyak lagi cara lain.

Rakyat Malaysia boleh membantu dalam usaha global untuk cuba menghentikan kesan negatif pemanasan global dengan mengurangkan penggunaan elektrik seberapa yang boleh.

Ini adalah usaha paling kecil tetapi penting yang boleh dilakukan oleh setiap rakyat Malaysia untuk menjadikan dunia ini mampan bagi generasi akan datang.-UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya