SAUDARA PENGARANG,
PENULIS Amerika Syarikat, Joseph Brodsky, pemenang Hadiah Nobel dalam bahagian sastera meninggal dunia, 27 tahun lalu iaitu pada 1996.
Dalam bukunya, On Grief and Reasons, Brodsky menghujahkan pembacaan adalah pengalaman amat peribadi yang memerlukan ketekunan, kesabaran dan konsentrasi.
Oleh kerana pilihannya banyak, maka pembaca harus selektif. Justeru, beliau mencadangkan ‘pertimbangan ekonomi masa’ dalam membuat pilihan dengan membaca hanya buku terbaik.
Malangnya, kata beliau, menentukan buku yang baik sama sukarnya dengan mencari buku yang buruk. Beliau juga menggalakkan pembacaan puisi.
Bagi beliau, puisi bukan sahaja karya paling ringkas untuk mengungkapkan pengalaman manusia tetapi juga sering menawarkan pencapaian tertinggi dalam bidang bahasa.
Semakin banyak kita membaca puisi, semakin memuncak kebencian kita pada segala bentuk pembaziran kata dalam prosa. Puisi mengajar penulis dan pembaca tentang nilai sesuatu perkataan.
Beliau juga menghujahkan bahawa sastera sebenarnya bermula dengan puisi. Hayatilah puisi sebelum anda mampu menghayati sastera, nasihat Brodsky.
Malah, puisi mengajar manusia tentang makna apresiasi, keindahan dan seni. Prosa boleh menjadi membazir.
Puisi yang baik ialah permainan kata-kata yang halus dan dipilih secara berseni. Jangan membazir masa membaca yang bukan-bukan.
Hanya setelah memahami puisi dan menghayatinya, tugas membaca prosa akan menjadi jauh lebih mudah dan memanfaatkan. – UTUSAN
ARIF MUSTAQIM MD. SALLEH, Jurutera pembinaan