SAUDARA PENGARANG,
PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) merupakan syarikat yang mengendalikan pelbagai aset pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang. Oleh itu, Prasarana sentiasa meningkatkan penggunaan teknologi sokongan sejajar perkembangan semasa. Usaha ini perlu diteruskan agar Prasarana terus kekal relevan di masa hadapan.
Terdapat beberapa aplikasi teknologi sokongan sebelum ini yang telah dijalankan oleh Prasarana tetapi impak ketara pelaksanaannya masih tidak kelihatan.
Sebagai contoh terdapat penggunaan teknologi sokongan operasi seperti aplikasi PULSE yang dilancarkan pada 17 Disember 2020. Ia juga dikenali sebagai aplikasi perancang perjalanan bagi perkhidmatan rel dan bas. Jika dilihat skor maklum balas di salah satu platform muat turun contohnya,Google Play Store merekodkan aplikasi ini hanya mendapat skor 1.8 / 5.0. Skor sangat rendah ini hasil maklum balas pengguna yang telah memuat turun dan menggunakannya. Kebanyakan maklum balas pengguna tidak diberi penjelasan sewajarnya oleh Prasarana. Ini amat bertentangan dengan matlamat asal penggunaan aplikasi ini iaitu mesra pelanggan dan mudah digunakan. Tahap keberkesanan dan kejayaan aplikasi ini masih tidak diketahui walaupun selepas tiga tahun dilancarkan.
Selain itu, projek teknologi automasi canggih, Sistem Bas Bersepadu yang menggunakan kepakaran syarikat teknologi berinovasi dari Sepanyol (GMV) yang berpengalaman luas membangunkan sistem pengangkutan awam di seluruh dunia ini bagaimanapun gagal mencapai standard apabila Sistem Maklumat Penumpang didapati tidak lagi berfungsi di kebanyakan tempat sekitar bandar raya Kuantan.
Ini menyukarkan pengguna bas memandangkan beberapa laluan kekal terganggu hampir setiap hari.
Jika ia menggunakan dana awam seharusnya pihak Prasarana bertindak memperbetulkannya pada kadar segera supaya perkhidmatan berkualiti kepada pengguna tidak terganggu. Sehingga kini status sebenar pencapaian sistem ini tidak diketahui.
Prasarana hendaklah memandang serius sebarang usaha dalam meningkatkan penguasaan teknologi serta pengurusan lebih mantap. Pihak pengurusan perlu lebih bersedia dalam memperkukuhkan operasi teras serta mengambil peluang berada di landasan yang tepat dalam ledakan teknologi terkini. Menjadi kebimbangan awam seandainya pihak pengurusan masih bergelut dengan teknologi sedia ada sedangkan teknologi lebih maju terus berkembang.
Diharapkan pihak Prasarana terus cemerlang dan berjaya.-UTUSAN
MOHD FIRDAUS HASHIM
Pemerhati Pengangkutan Awam