SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM ini, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Alasan beliau adalah bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan selain menegaskan desakan secara konsisten parti bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pentadbiran Kuala Lumpur.
Setahun lalu, kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memansuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan meletakkan bidang kuasa kementerian itu di bawah kuasa Perdana Menteri.
Mengikut sejarah, pilihan raya PBT digantung pelaksanaan pada 1960-an dan kemudian diganti dengan sistem lantikan ketua, iaitu datuk bandar majlis tempatan dan yang dipertua majlis termasuk ahli majlis dilantik kerajaan.
Saya melihat desakkan untuk mewujudkan semula pilihan raya PBT di Kuala Lumpur oleh Kok Wai yang juga merupakan Ahli Parlimen Cheras seumpama satu percubaan untuk menghidupkan kembali undang-undang yang sudah pun dimansuhkan sebelum ini.
Cadangan tersebut saya anggap biadab serta tidak menghormati pelantikan datuk bandar yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong .
Kebarangkalian ini adalah langkah permulaan DAP ke arah merealisasikan ‘impian Malaysia’ dan bukannya impian etnik tunggal seperti mana dibangkitkan oleh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dalam coretannya, perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal kerana perlembagaan tidak menghalang seorang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.
Cadangan berkenaan adalah langkah pertama sebelum ia dilaksanakan di negeri lain termasuk Pulau Pinang jika diluluskan kelak.
Sebagai bekas ahli DAP, saya beranggapan walaupun pilihan raya PBT (ketika ini) masih sekadar berbentuk cadangan tetapi ia sangat bahaya serta wajar dipatahkan segera.
Justeru, pemimpin Melayu dalam kerajaan perpaduan wajar meletakkan kedudukan Melayu dan Islam sebagai keutamaan bagi maksud menolak cadangan tersebut secara total.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis Politik