SAUDARA PENGARANG,
DALAM tadbir urus sektor awam negara, sumber manusia memainkan peranan penting dalam menyahut cabaran transformasi zaman yang penuh dengan dinamisme.
Melangkah ke hadapan, penting untuk memahami perbezaan antara keperluan dan kehendak dalam pengurusan sumber manusia sektor awam di negara ini.
Keperluan merujuk kepada elemen fundamental (asas) yang mendukung kelangsungan hidup dan pertumbuhan sektor awam, manakala kehendak merangkumi hasrat dan keinginan yang mampu meningkatkan kualiti kehidupan dan prestasi organisasi.
Dalam pada itu, keperluan asas dalam era digital adalah pembangunan kemahiran berasaskan teknologi.
Program latihan dan pembangunan perlu diperkukuhkan untuk memastikan setiap pekerja memiliki kemahiran yang mencukupi dalam kecerdasan buatan (AI), analisis data dan teknologi maklumat (IT).
Metodologi latihan dalam pekerjaan adalah kaedah paling berkesan dengan penekanan terhadap pembangunan di tempat kerja dan pengayaan pengalaman.
Perlu diwujudkan peluang pembelajaran berterusan dan relevan menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan dan industri bagi memastikan penyesuaian kurikulum dengan keperluan semasa.
Namun, kehendak pekerja turut memainkan peranan penting. Kehendak untuk penggunaan AI dalam pengurusan sumber manusia adalah semakin mendesak.
Proses pengambilan pekerjaan, penilaian prestasi dan pengurusan bakat perlu dirangsang melalui penggunaan teknologi demi meningkatkan kecekapan dan keadilan.
Fokus harus diberi kepada bakat paling kompeten dan peralihan daripada metodologi tradisional. Kebolehan AI untuk menganalisis data dengan pantas membantu dalam menemui bakat yang bersesuaian dengan keperluan organisasi.
Bagaimanapun, perlu ada rangka kerja yang kukuh untuk memastikan penggunaan teknologi ini adalah adil dan selari dengan etika kerja.
Untuk menyeimbangi keperluan dan kehendak sumber manusia sektor awam, perancangan jangka panjang adalah suatu kemestian.
Pelaburan dalam latihan dan pembangunan serta pengukuhan peraturan dan etika dalam penggunaan teknologi adalah strategi jitu yang perlu dipertimbangkan. – UTUSAN
MOHD. RAFIZI RAHMAD, Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM)