Penting peranan Malaysia kekal konsisten isu Palestin di OIC

Penting peranan Malaysia kekal konsisten isu Palestin di OIC

SEMOGA resolusi yang dicapai semasa sidang tergempar Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dilihat sebagai sebuah suara kesatuan yang ingin melihat keadaan kacau bilau di Semenanjung Gaza dihentikan serta-merta. -FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SIDANG Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali kelapan yang berlangsung baru-baru ini di Riyadh, Arab Saudi selamat melabuhkan tirainya. Persidangan khas ini merupakan respons dan reaksi dunia Islam terhadap situasi yang semakin meruncing di bumi Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza. Persidangan yang dihadiri oleh negara-negara anggota OIC dan Liga Arab melahirkan beberapa resolusi penting berkaitan isu genosid rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Untuk sekian lama, OIC menjadi platform penting bagi negara-negara anggotanya untuk berkerjasama dan berbincang terutama dalam menyelesaikan konflik melibatkan umat Islam di seluruh pelosok dunia. Ini termasuklah isu Palestin yang mendarah daging dalam diri warga dunia khususnya umat Islam sejak 1948.

Kali ini, Malaysia hadir membawa hasrat umat Islam negara ini yang ingin melihat tindakan jelas dalam membela hak warga Palestin. Ini jelas melalui kenyataan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir iaitu perlu ada penegasan ada langkah-langkah ke hadapan daripada negara-negara anggota untuk menyegerakan proses gencatan senjata agar segera dihentikan serangan dan pembunuhan kejam oleh rejim (Israel) yang tidak berperikemanusiaan ini.

Jelas menunjukkan Malaysia konsisten mempamerkan keterlibatannya dalam usaha mencari kedamaian dan memastikan keselamatan global terutama dalam dunia Islam. Ini dilakukan melalui pelbagai kaedah diplomasi, penyampaian bantuan kemanusiaan, inisiatif mediasi dan dialog, dan lobi antarabangsa yang dilatari dengan cabaran geopolitik dan ideologi yang rencam dan pelbagai.

Penegasan ini merupakan sambungan legasi dasar luar negara oleh manamana Perdana Menteri kita terdahulu dalam isu Palestin. Pengaruh diplomasi Putrajaya digunakan sepenuhnya dalam setiap kesempatan yang ada dalam mengetengahkan isu aparteid, geopolitik dan penindasan agama yang melanda rakyat Palestin biarpun berdepan risiko tekanan daripada negara-negara lain yang tidak sehaluan.

Melalui peranan aktif inilah, maka sumbangan terbesar Malaysia dalam isu Palestin dapat dilihat. Perjuangan memastikan hak kemanusiaan, keadilan, kedaulatan dan kemerdekaan Palestin secara langsung juga akan menghasilkan sebuah negara dengan nilai-nilai madani yang dicari.-UTUSAN

RUSLI ABDUL RONI
Jabatan Sains Sosial & Kemanusiaan
Kolej Pengajian Berterusan (CCEd)
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN