‘Pelancongan bencana’ tingkat pelawat ketika banjir - Utusan Malaysia

‘Pelancongan bencana’ tingkat pelawat ketika banjir

BANJIR boleh dijadikan produk menarik pelawat yang dikategorikan sebagai ‘pelancongan bencana’. – GAMBAR HIASAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI kita tahu, Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini telah bermula pada 11 November lalu dan akan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Ia dijangka akan menyebabkan berlaku hujan lebat dan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Banjir boleh dijadikan sebagai produk bagi menarik pelawat yang boleh dikategorikan sebagai pelancongan bencana iaitu satu fenomena biasa di Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan Indonesia.

Pelancongan bencana yang juga dikenali sebagai ‘pelancongan gelap’ ialah satu bentuk pelancongan kontroversi yang semakin popular dalam beberapa tahun ini.

Menurut kajian oleh Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC), pelancongan bencana masih sebahagian kecil daripada industri pelancongan global, tetapi ia berkembang pesat dan mungkin menjadi lebih penting pada masa akan datang.

Ia melibatkan lawatan ke lokasi yang mengalami bencana alam seperti banjir, ribut atau gempa bumi dan ketika terjadinya kemalangan akibat kecuaian manusia seperti nahas pesawat.

Daya tarikan pelancongan bencana adalah membolehkan pelancong menyaksikan sendiri kesan bencana yang menghancurkan, mendapat gambaran tentang ketahanan masyarakat yang terkesan atau ingin belajar sesuatu daripada sejarah dan budaya lokasi yang terjejas.

Sesetengah pelancong mungkin akan berasa belas kasihan kepada mangsa yang terbabit sekali gus menimbulkan keinginan untuk menawarkan bantuan.

Mungkin juga pelancong mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung kepada mangsa bencana seperti keluarga atau rakan.

Contoh kawasan pelancongan bencana popular dunia ialah Memorial 9/11 di AS, lokasi tsunami di Aceh, Indonesia dan reaktor Loji Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine.
Trend pelancongan bencana ini telah menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat.

Sebagai contoh, AS melaporkan bahawa kawasan pelancongan Memorial 9/11 menyumbang lebih daripada AS$5.3 bilion kepada ekonomi setempat pada 2019.

Di Ukraine pula, hampir 46,200 pelancong melawat Zon Pengecualian Chernobyl pada 2017 dan hampir 72,000 pelancong pada tahun berikutnya.

Aliran pelancong memuncak kepada lebih 124,400 orang pada 2019 setelah ditayangkan satu siri televisyen mengenai bencana terbabit.

Namun, terdapat juga sisi gelap pelancongan bencana bilamana terjadinya penyalahgunaan tragedi bagi berseronok atau meraih keuntungan peribadi.

Sudah menjadi seakan-akan trend terkini, sering kali dilihat, orang ramai atau pelancong bencana berkumpul dan merakam situasi di lokasi kejadian kemalangan sekali gus menjejaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sikap tidak sensitif pelancong bencana yang melawat tapak kejadian nahas sejurus selepas kejadian menyukarkan operasi dan melambatkan pasukan penyelamat memulakan operasi.

Sesiapa yang pernah menghadapi bencana, mereka maklum bahawa 24 jam pertama adalah tempoh yang kritikal.

Sebenarnya pelancongan bencana boleh memberikan impak yang positif tetapi akan menimbulkan kesan negatif jika tidak diurus dengan baik. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. RAJA ZURAIDAH RAJA MOHD. RASI, Universiti Tun Hussein Onn

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya