SAUDARA PENGARANG,
PIHAK berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab membeli ventilator rosak yang diperoleh Kementerian Kesihatan (KKM) semasa pandemik Covid-19.
Semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020, Kabinet dimaklumkan mengenai keperluan bagi 800 ventilator.
Berikutan itu, KKM telah meluluskan RM30 juta kepada sebuah syarikat untuk membeli 500 unit ventilator.
Disebabkan kekangan bekalan, syarikat itu hanya berjaya memperoleh 136 unit ventilator pada harga RM20.12 juta.
Harga yang dilaporkan empat kali lebih tinggi daripada kadar biasa. Bagaimanapun, didapati 104 daripada 136 ventilator yang dibeli tidak boleh digunakan.
Pada awal bulan ini dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa tiada tindakan boleh diambil ke atas isu itu kerana ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan syarikat terbabit.
PAC gagal dalam tugasnya untuk mendedahkan mereka yang bertanggungjawab bagi pembelian ventilator yang tidak boleh digunakan. Alasannya, tiada kontrak bertulis rasmi, ini tidak boleh diterima.
Mestilah terdapat bukti dokumen dan lisan mengenai proses yang membawa kepada pembelian ventilator yang rosak yang akan mendedahkan jika terdapat sebarang kecuaian atau rasuah di pihak terlibat dalam membuat keputusan.
PAC sepatutnya mengesyorkan agar agensi penguatkuasaan undang-undang menyiasat kes itu dan mengambil tindakan perlu terhadap mereka yang bersalah.
Memandangkan peralatan menyelamatkan nyawa seperti ventilator sangat penting semasa pandemik Covid-19, adalah mengejutkan bahawa kecuaian sedemikian telah berlaku.
Ventilator yang rosak itu bukan sahaja membazirkan dana awam tetapi juga membahayakan nyawa pesakit.
Laporan PAC mengatakan bahawa budaya akauntabiliti hampir tidak wujud ketika urusan tempahan ventilator terbabit yang sebahagian besar tidak dapat digunakan.
CAP percaya lebih banyak perkara perlu dilakukan untuk menuntut akauntabiliti daripada mereka yang bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam tugas mereka.
Pihak berbeza yang bertanggungjawab atas kecuaian yang jelas dalam skandal ventilator didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara mestilah dikenal pasti dan dihukum. – UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)