Mojo buatkan Israel pening kepala - Utusan Malaysia

Mojo buatkan Israel pening kepala

MOJO adalah kaedah wartawan menggunakan teknologi komunikasi mudah alih seperti telefon pintar untuk melaporkan berita menerusi video, audio, gambar dan grafik. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DENGAN tindakan Amerika Syarikat memveto cadangan gencatan senjata dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, konflik Palestin-Israel bakal berterusan menjadi tumpuan utama komuniti media di dalam dan luar negara.

Dalam kon­flik terkini Palestin-Israel sejak 7 Oktober lalu, kewartawanan peranti (Mojo) muncul sebagai satu daya kuat dalam pembentukan naratif dan perspektif segar khususnya mengenai zon konflik.

Mojo adalah kaedah wartawan menggunakan teknologi komunikasi mudah alih seperti telefon pintar dan tablet untuk melaporkan berita menerusi video, audio, gambar dan grafik.

Sementara media tradisional antarabangsa bergelut dengan prasangka dan tuduhan hanya alat propaganda, Mojo terbukti sebagai saluran paling dipercayai dalam membolehkan berita-berita segar dan tidak disaring terus dari zon kon­flik.

Mojo tidak hanya mendemokrasikan proses pelaporan berita malah menawarkan lensa unik bagi penonton untuk melihat sendiri kejadian-kejadian di kawasan bergolak.

Salah satu kekuatan utama Mojo terletak pada keupayaannya untuk melangkaui ‘penjaga’ gerbang media tradisional.

Di zon perang seperti di Gaza dan sebahagian Israel, ketika akses media terhad atau dikawal ketat, wartawan bergerak dapat meneroka lorong-lorong tikus antara halangan-halangan dan memberikan berita secara langsung.

Platform media sosial menjadi pentas utama bagi Mojo, membolehkan mereka berkongsi imej, video dan pengalaman peribadi yang mungkin disenyapkan oleh agensi media perdana kerana faktor-faktor tertentu.

Impak Mojo juga jelas dalam aspek kepantasan pelaporan berita. Media tradisional dengan proses birokrasinya, menghadapi kesukaran untuk meliputi rentak kejadian-kejadian yang cepat di zon perang.

Sentuhan peribadi yang tersirat dalam kandungan Mojo menambah dimensi kemanusiaan dalam pelaporan konflik.

Penonton tidak lagi menjadi pemerhati yang jauh – mereka menjadi saksi kepada perjuangan, ketakutan dan harapan individu yang terlibat dalam zon konflik.

Hubungan peribadi ini mencabar sentimen penyahmanusiaan (dehumanization) yang sering terpalit dengan liputan berkaitan perang dan menampilkan gambaran yang dapat menyelami perasaan mangsa konflik seterusnya menonjolkan kos emosi, harta benda dan nyawa dek peperangan berlaku.

Dalam konteks konflik Palestin-Israel khusus yang naratifnya terlalu terbahagi, potensi untuk penyebaran maklumat palsu dan manipulasi adalah satu kebimbangan perlu diberi perhatian.

Sementara penonton sendiri perlu bijak membezakan keaslian kandungan, etika dan pelaporan berita yang bertanggungjawab oleh Mojo juga wajar diperkasa.

Kesimpulannya, impak Mojo dalam konflik terkini Palestin-Israel tidak dapat disangkal.

Tidak keterlaluan jika dikatakan gelombang sokongan masyarakat dunia terhadap perjuangan penduduk Palestin antara lainnya ditunjangi oleh Mojo. – UTUSAN

MOHAMAD IKHWAN AL SYAHID ABDULLAH TAHIR, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya