Menteri baru dilantik perlu serius tangani rasuah di kementerian - Utusan Malaysia

Menteri baru dilantik perlu serius tangani rasuah di kementerian

ANWAR Ibrahim membuktikan komitmen untuk tidak berkompromi dengan anggota Kabinet beliau yang terpalit dengan isu rasuah. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KABINET baharu kerajaan perpaduan menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan daripada senarai membabitkan V. Sivakumar sebelum ini yang memegang portfolio Menteri Sumber Manusia.

Turut digugurkan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching.

Posisi Ramkarpal diganti oleh M. Kulasegaran manakala Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin mengambil alih tempat Siti Aminah.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) ingin mengucapkan selamat bertugas kepada semua anggota Kabinet yang dilantik dalam rombakan, baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan komitmen untuk tidak berkompromi dengan anggota Kabinet beliau yang terpalit dengan isu rasuah.

Anggota Kabinet kerajaan baharu dilantik ini perlu membuktikan kepada rakyat bahawa nilai integriti dan karisma kepemimpinan yang bersih serta bebas rasuah adalah keutamaan dalam melaksanakan tugas bagi memartabatkan nama negara di persada dunia.

Kesedaran bahawa keadaan rasuah di kementerian masing-masing masih lagi serius perlulah ditangani segera.

Nilai integriti, ketelusan dan kemahuan melawan rasuah serta salah guna kuasa mesti dizahirkan menerusi pelantikan anggota Kabinet yang mempunyai rekod bersih.

Kepercayaan rakyat terutama golongan usahawan yang sering berurusan dengan pegawai kerajaan mesti ditingkatkan dengan inisiatif antirasuah lebih jelas.

MCW mewakili rakyat yang mahukan negara bersih daripada rasuah mengesa kerajaan melakukan reformasi lebih agresif untuk membebaskan negara daripada cengkaman salah guna kuasa dan penyelewengan wang rakyat.

Berkhidmatlah dengan penuh amanah demi kestabilan politik, kemakmuran rakyat dan bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat senario sosial dan ekonomi dunia semakin meruncing. – UTUSAN

JAIS ABDUL KARIM, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya