SAUDARA PENGARANG,
DALAM era teknologi maklumat dan komunikasi yang terus berkembang dengan pesat, penggunaan media sosial di Malaysia telah menjadi fenomena yang tidak dapat dielakkan.
Menurut statistik terkini, lebih daripada 80 peratus rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial dan menjadikan negara ini sebagai salah satu pengguna media sosial tertinggi di rantau Asia Tenggara.
Media sosial kini tidak hanya sekadar menjadi alat untuk menghubungkan individu, tetapi juga menjadi medium yang memainkan peranan penting dalam membentuk dan mempengaruhi pendapat awam terhadap isu-isu politik semasa terutama dalam kalangan orang muda.
Aktiviti politik di media sosial turut memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap sesuatu isu atau parti politik. Salah satu contoh ialah dengan melihat penglibatan rakyat dalam isu-isu politik semasa ialah melalui penggunaan tanda pagar seperti #ge15, #malaysiamemilih dan #undirabu telah menjadi trend pada satu ketika dan tanda pagar ini memotivasikan rakyat menyuarakan pendapat di media sosial dan memberi rasa kebersamaan terhadap sesuatu isu.
Media sosial juga membuka pintu untuk aktiviti dialog secara langsung antara rakyat dan pemimpin, merapatkan jurang di antara kuasa politik dan masyarakat. Inilah yang memberi ruang kepada keputusan politik yang lebih terbuka, responsif dan seringkali mencerminkan kehendak rakyat.
Namun terdapat juga cabarannya seperti penyebaran berita palsu yang semakin menjadi kebiasaan dalam ekosistem media sosial, membawa risiko yang serius terhadap integriti pemain politik. Pemecahan masyarakat mengikut fahaman politik di dalam talian turut menjadi perhatian dengan perkongsian maklumat dan pandangan yang seringkali berbeza daripada pengikut kumpulan politik lain. Ini boleh menyumbang kepada polarisasi dan kurangnya perbincangan yang konstruktif di dalam masyarakat.
Selain itu, ada juga risiko terhadap kesihatan mental dan keselamatan individu. Keterlaluan penggunaan media sosial boleh menyebabkan tekanan emosi, rasa tidak selamat dalam talian dan ancaman privasi. Generasi muda, terutamanya, mungkin terdedah kepada tahap tekanan yang tinggi dan risiko kesihatan mental yang berkaitan dengan penggunaan berlebihan media sosial.
Untuk mengatasi cabaran ini, usaha bersama dari pihak berkuasa, masyarakat dan individu diperlukan. Penyebaran berita palsu memerlukan tindakan keras dalam pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.-UTUSAN
MASZUITA MAAMIN
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam